Mangsa jenayah siber perlukan perlindungan undang-undang menyeluruh – Dr Wan Martina
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Mangsa jenayah siber perlu diberikan perlindungan undang-undang yang lebih menyeluruh termasuk hak mendapatkan pemulihan identiti digital, pemadaman kandungan serta pampasan atas kerugian yang dialami.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, aspek perlindungan mangsa perlu diberikan perhatian dalam Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 memandangkan kesan jenayah siber bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut memberi impak terhadap emosi dan reputasi mangsa.
Menurutnya, RUU tersebut dilihat banyak memberi tumpuan kepada hukuman terhadap pesalah, namun hak dan keperluan mangsa juga perlu dimasukkan sebagai sebahagian daripada kerangka perundangan.
“Saya melihat RUU ini sangat menumpukan kepada hukuman terhadap pesalah, tetapi kurang memberikan perhatian kepada hak mangsa.
“Mangsa jenayah siber sering mengalami kerugian kewangan, tekanan emosi dan pencemaran reputasi yang berpanjangan,” katanya ketika membahaskan RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Dr Wan Martina berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan pewujudan satu bahagian khusus berkaitan hak mangsa bagi memastikan mereka mempunyai saluran pemulihan yang lebih jelas dan berkesan.
Beliau turut mencadangkan supaya mangsa diberikan hak memohon perintah mahkamah bagi pemadaman kandungan yang memudaratkan, mendapatkan pampasan serta pemulihan identiti digital yang terjejas akibat serangan siber.
“Perlindungan mangsa perlu menjadi sebahagian daripada undang-undang ini kerana kesan jenayah siber boleh berlarutan dalam tempoh yang panjang walaupun selepas tindakan terhadap pelaku diambil,” ujarnya.
Dalam perbahasan sama, beliau berkata perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), identiti digital, penipuan dalam talian, serangan terhadap infrastruktur kritikal negara serta penyalahgunaan media digital memerlukan pendekatan perundangan yang lebih komprehensif.
Katanya, RUU Jenayah Siber 2026 merupakan langkah ke hadapan berbanding Akta Jenayah Komputer 1997 kerana meliputi kesalahan baharu termasuk penyalahgunaan teknologi 'deepfake', kecurian identiti, penyebaran imej intim serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, usaha memperkukuh keselamatan siber perlu bergerak seiring dengan prinsip keadilan, hak asasi, privasi dan akauntabiliti.
“Undang-undang yang terbaik ialah undang-undang yang tegas terhadap penjenayah, tetapi pada masa sama melindungi rakyat yang tidak bersalah serta mengelakkan sebarang ruang penyalahgunaan kuasa,” jelasnya.
Selain isu perlindungan mangsa, Dr Wan Martina turut mencadangkan supaya penyelidik keselamatan siber yang menjalankan aktiviti secara bertanggungjawab diberikan perlindungan jelas agar mereka tidak berdepan risiko tindakan undang-undang ketika membantu mengenal pasti kelemahan sistem.
Beliau turut mencadangkan supaya komposisi Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber diperluaskan dengan melibatkan pakar keselamatan siber, ahli akademik, wakil industri digital, pakar kecerdasan buatan serta pertubuhan masyarakat sivil.
Menurutnya, ancaman siber berkembang dengan pantas dan memerlukan kerjasama seluruh ekosistem bagi memastikan keselamatan digital negara terus diperkukuh.
Beliau menyokong RUU Jenayah Siber 2026 dengan syor supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan agar akta berkenaan menjadi undang-undang yang seimbang, progresif dan berkesan dalam melindungi rakyat.








