Accessibility Tools

Skip to main content

Saringan i-SYIFA' lahirkan pengamal pengubatan Islam berintegriti

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 21 Julai — Saringan Penilaian Pematuhan Syariah (i-SYIFA') dijangka terus melahirkan lebih ramai pengamal pengubatan Islam yang berintegriti, beretika dan berkelayakan sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan rawatan Islam yang menepati syariat.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata pelaksanaan saringan secara berkala itu merupakan mekanisme penting bagi memastikan setiap pengamal mematuhi garis panduan syariah dan piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas menerima Slip Keputusan Saringan Penilaian Pematuhan Syariah (i-SYIFA') bagi Pengamal Pengubatan Islam Negeri Kelantan di Bilik Mesyuarat Pejabat Mufti Negeri Kelantan, di sini semalam.

Menurutnya, pelaksanaan i-SYIFA' membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa agama negeri dalam memastikan amalan pengubatan Islam dilaksanakan berlandaskan prinsip syariah, sekali gus memperkukuh integriti dan profesionalisme bidang berkenaan.

“Pelaksanaan i-SYIFA' juga menjadi satu medium penting dalam membimbing pengamal supaya terus meningkatkan mutu perkhidmatan selaras dengan tuntutan syariat serta keperluan masyarakat yang semakin menitikberatkan aspek keselamatan dan integriti dalam rawatan Islam,” jelasnya.

Saringan berkenaan diadakan pada 29 Jun lalu di Bilik Mesyuarat Pejabat Mufti Negeri Kelantan dengan panel penilai diketuai Timbalan Mufti Negeri Kelantan YB Sahibul Fadhilah Dato' Biji Sura manakala urus setianya dikendalikan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Sebanyak 50 pengamal pengubatan komplementari menyertai saringan tersebut bertujuan memastikan setiap ahli ruqyah di negeri ini sentiasa mematuhi garis panduan syariah dalam setiap amalan rawatan yang dijalankan.

Menurutnya, i-SYIFA' merupakan proses saringan awal yang ditetapkan di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] bagi membolehkan pengamal memperoleh Perakuan Pengamalan Sah daripada Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari (Majlis PT&K) Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Majlis PT&K merupakan badan yang diberi kuasa mengawal selia aktiviti serta perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari termasuk rawatan Islam di negara ini,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan, mana-mana individu yang menjalankan amalan perubatan tanpa memiliki Sijil Perakuan Amalan yang sah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang termasuk denda sehingga RM10,000, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan i-SYIFA' secara berterusan akan memperkukuh standard amalan pengubatan Islam di Kelantan serta melahirkan lebih ramai pengamal yang kompeten, beretika dan diyakini masyarakat.

Pautan berjaya disalin!