YB Abdul Latiff raikan dua beradik anak Kelantan buka Ayam Gepuk di Puncak Jalil
Oleh: Syamimi Manah
PETALING, 21 Julai – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman meraikan kejayaan dua beradik anak Kelantan yang berjaya membuka perniagaan Ayam Gepuk Papa Jon di Puncak Jalil, di sini, sebagai tanda sokongan terhadap semangat keusahawanan golongan muda tempatan.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman sosial rasminya selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Ayam Gepuk Papa Jon di Puncak Jalil pada 18 Julai.
Majlis turut dihadiri selebriti Mohd Saharul Ridwan Hashim selaku Pengasas Ayam Gepuk Papa Jon.
Menurut YB Abdul Latiff, premis makanan itu merupakan hasil aspirasi serta usaha dua beradik anak Kelantan iaitu Wan Haffiz dan Wan Hazizi yang berani merealisasikan impian dalam bidang keusahawanan.
"Langkah mereka menceburi dunia perniagaan wajar dipuji dan dijadikan inspirasi kepada golongan muda lain untuk berani mengejar impian serta mencipta peluang ekonomi sendiri," katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Wan Haffiz dan Wan Hazizi atas kejayaan membuka Ayam Gepuk Papa Jon serta berharap perniagaan itu terus berkembang maju dan menjadi pilihan utama masyarakat di sekitar Puncak Jalil.
"Semoga perniagaan Ayam Gepuk Papa Jon terus maju, berkembang pesat dan menjadi pilihan utama penduduk di sekitar Puncak Jalil," ujarnya.
YB Abdul Latiff juga memaklumkan, premis Ayam Gepuk Papa Jon anak Kelantan itu menawarkan kelainan menerusi hidangan ayam yang rangup dan enak, sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau turut mempelawa orang ramai hadir memberikan sokongan kepada usahawan tempatan dengan mengunjungi Ayam Gepuk Papa Jon dan merasai sendiri keenakan hidangan yang ditawarkan.










