Accessibility Tools

Skip to main content

Penternakan kambing tenusu berpotensi jadi industri bernilai tinggi di Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 21 Julai – Industri penternakan kambing tenusu berpotensi muncul sebagai antara sektor agromakanan bernilai tinggi di Kelantan, sekali gus mampu menjana pendapatan lebih mampan kepada penternak serta memperkukuh agenda sekuriti makanan negeri.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, penternakan kambing tenusu kini mempunyai prospek yang semakin luas berikutan peningkatan permintaan terhadap susu kambing dan pelbagai produk hiliran.

Menurutnya, perkembangan industri tersebut membuka peluang kepada penternak untuk mengembangkan perusahaan masing-masing melalui penghasilan produk bernilai tambah seperti yogurt, ais krim dan susu kambing berperisa.

Beliau berkata demikian dalam media rasminya selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Penternakan Kambing Tenusu yang berlangsung di Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) Ketereh, semalam.

“Bengkel anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diurusetiakan oleh Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor penternakan melalui penyebaran ilmu, kemahiran dan teknologi kepada para penternak,” katanya.

Tambahnya, pendedahan yang diberikan sepanjang bengkel itu diharap dapat meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pengurusan penternakan kambing tenusu secara lebih sistematik sekali gus memperkukuh daya saing industri berkenaan.

Menurutnya, pembangunan sektor penternakan perlu diperkasakan secara berterusan kerana ia mampu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang pendapatan baharu.

Sehubungan itu, beliau berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bengkel dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta bagi melahirkan lebih ramai penternak kambing tenusu yang berdaya saing serta berupaya memenuhi permintaan pasaran.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan industri penternakan sebagai antara komponen penting dalam memperkukuh sekuriti makanan negeri, di samping memacu pertumbuhan sektor agromakanan yang mampan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Pautan berjaya disalin!