Accessibility Tools

Skip to main content

Tadbir urus berintegriti kunci kelangsungan, keberkatan GLC Kelantan - Menteri Besar

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

SHAH ALAM, 20 Julai - Tadbir urus korporat yang cekap dan berintegriti merupakan kunci utama dalam memastikan kelangsungan serta keberkatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Kelantan, kata Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Katanya, dunia korporat kini berdepan persekitaran yang semakin mencabar susulan ketidaktentuan ekonomi global, perkembangan teknologi yang pesat, perubahan corak pelaburan serta peningkatan jangkaan masyarakat terhadap aspek ketelusan dan integriti.

"Dalam suasana sebegini, GLC tidak lagi boleh berpuas hati sekadar menjadi organisasi yang stabil. Sebaliknya, GLC perlu tampil sebagai institusi yang berdaya tahan, inovatif dan diyakini oleh semua pihak.

"Lebih penting daripada itu, setiap kejayaan yang dicapai mestilah berdiri di atas asas integriti yang kukuh," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pengarah 1.0 Tahun 2026 di Mardhiah Hotel, di sini, semalam.

Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang bertemakan "Tadbir Urus Korporat dan Integriti: Kunci Kelangsungan dan Keberkatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)" menghimpunkan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi PKINK serta Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), selain wakil rakyat Negeri Kelantan.

Menurut YAB  Dato' Mohd Nassuruddin lagi, keuntungan dan kerugian adalah lumrah dalam dunia perniagaan, namun prestasi sesebuah syarikat tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan laporan kewangan atau petunjuk prestasi semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, aspek keberkatan juga perlu diberikan perhatian kerana dalam Islam, keberkatan bukan sekadar bermaksud pertambahan hasil, tetapi pertambahan kebaikan yang membawa manfaat kepada organisasi, masyarakat dan negeri.

Jelasnya, keuntungan yang diperoleh perlu diurus secara amanah serta dimanfaatkan bagi memperkukuhkan pembangunan ekonomi, memperluaskan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Begitu juga apabila berdepan dengan kemerosotan prestasi, jangan hanya menumpukan kepada faktor pengurusan atau ekonomi semata-mata.

"Jadikan keadaan tersebut sebagai ruang untuk bermuhasabah secara menyeluruh termasuk memastikan setiap keputusan dan tindakan sentiasa dipandu oleh nilai-nilai amanah dan keberkatan," katanya.

Beliau turut menggesa setiap GLC menjana keuntungan yang mampan bagi membolehkan syarikat berkembang secara sihat serta memperkukuhkan kedudukan kewangan dalam jangka panjang

Menurutnya, keuntungan yang mampan bukan sahaja membolehkan syarikat memperluaskan operasi dan meneroka peluang baharu, malah menjadi sumber kekuatan untuk menghadapi cabaran ekonomi yang sentiasa berubah, termasuk kesan berantai daripada perang Amerika Syarikat terhadap Iran yang menurutnya masih belum tamat sepenuhnya.

YAB Dato' Mohd Nassuruddin turut menegaskan bahawa Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik kerajaan negeri memikul amanah besar dalam menentukan hala tuju strategik syarikat. 

Katanya, mereka bukan sahaja berperanan meluluskan kertas cadangan dan menilai prestasi semasa syarikat, malah perlu memastikan setiap perancangan organisasi selari dengan aspirasi kerajaan negeri serta memenuhi keperluan pembangunan ekonomi yang semakin dinamik.

"Pada masa sama, aspek pengurusan risiko dan kawalan dalaman perlu diberikan perhatian serius supaya setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti, berhemah dan berpandangan jauh," katanya. 

Seminar itu turut menampilkan Ahli Lembaga Pengarah PKINK, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, yang membentangkan kertas kerja bertajuk "Transformational Leadership" dengan memberi penekanan kepada pembinaan kepimpinan berwibawa, peningkatan kompetensi serta keupayaan pengarah dalam menghadapi cabaran semasa.

Pautan berjaya disalin!