Accessibility Tools

Skip to main content

16 Seksyen EKJS dibentang semula akhir julai

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 20 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berwajah baharu bagi menggantikan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang telah dibatalkan pada Persidangan Kali Kedua Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung pada akhir Julai ini.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembentangan RUU baharu itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Februari 2024 yang membatalkan 16 seksyen dalam enakmen berkenaan.

Menurutnya, persediaan rapi perlu dilakukan menjelang persidangan Dewan Negeri, termasuk menerusi Bengkel Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) kepada Ahli-ahli Yang Berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang berlangsung, semalam.

"Perjuangan memartabatkan undang-undang syariah tidak akan pernah terhenti. Kita menyedari jalan ini tidak sunyi daripada cabaran dan ujian. Namun, dengan keyakinan terhadap kebenaran perjuangan, Insya-Allah kita akan terus istiqamah mempertahankan serta menjulang syariat demi membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri Kelantan," katanya di laman rasmi, semalam.

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, sesi taklimat itu dianjurkan oleh BBC dengan kerjasama Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Menurut YB Mohd Asri, taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pindaan RUU, YB Wan Rohimi Wan Daud yang menjelaskan kandungan serta hala tuju pindaan RUU berkenaan.

Beliau berharap proses pembentangan RUU itu dapat berjalan dengan lancar dan mendapat penelitian sewajarnya daripada semua pihak yang terlibat.

"Semoga pembentangan berjalan dengan lancar yang turut dihadiri nanti oleh pakar perundangan dalam dan luar negeri," katanya.

Pautan berjaya disalin!