Komitmen calon SPM 2026 sertai TRS jadi pemangkin kecemerlangan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
JELI, 20 Julai – Kesungguhan yang ditunjukkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dalam mengikuti kelas Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan, sekali gus mencerminkan komitmen generasi muda untuk membina masa depan melalui pendidikan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Ayer Lanas YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, semangat dan kesungguhan yang dipamerkan para pelajar sepanjang mengikuti kelas tuisyen tersebut memberikan keyakinan bahawa segala usaha yang dilaksanakan hari ini akan membuahkan hasil yang membanggakan pada masa hadapan.
Menurutnya, program TRS memainkan peranan penting dalam membantu calon SPM membuat persediaan yang lebih rapi dan sistematik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya selepas meluangkan masa beramah mesra bersama para pelajar calon SPM 2026 di Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera Nahdatul Ulum, Jeli dan Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera Maahad Al Sabirin, Air Lanas, semalam.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut berpeluang menyantuni para pelajar serta melihat sendiri komitmen mereka mengikuti sesi pembelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM tahun hadapan.
Menurutnya, peluang mengikuti kelas tambahan melalui TRS wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar bagi memperkukuhkan penguasaan mata pelajaran serta meningkatkan tahap keyakinan sebelum menduduki peperiksaan sebenar.
Tambahnya, kejayaan dalam peperiksaan tidak datang secara kebetulan, sebaliknya memerlukan kesungguhan, disiplin dan istiqamah dalam menuntut ilmu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua calon SPM 2026 agar terus berusaha bersungguh-sungguh serta tidak mudah berputus asa walau berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.
“Kejayaan bermula dengan usaha yang berterusan. Teruskan belajar dengan tekun dan jadikan setiap peluang yang ada sebagai langkah untuk mencapai cita-cita,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar seluruh calon SPM 2026 dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kefahaman dalam menuntut ilmu serta memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Dalam pada itu, beliau berharap semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar akan terus dikekalkan sehingga hari peperiksaan, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.












