Kempen Pasar Malam Bersih 2026 budayakan amalan kebersihan kepada peniaga
Oleh: Irham Hilmi Hashim
TANAH MERAH, 20 Julai – Kempen Pasar Malam Bersih 2026 yang dilancarkan di Pasar Malam Medan Tijari, Tanah Merah menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan kebersihan dalam kalangan peniaga, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh persekitaran perniagaan yang lebih bersih, selesa dan lestari.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah berkata, kempen tersebut bukan sekadar memberi penekanan terhadap aspek kebersihan fizikal di kawasan pasar malam, malah bertujuan membentuk kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam kalangan peniaga serta pengunjung untuk mengekalkan persekitaran yang kondusif.
Menurutnya, usaha membudayakan kebersihan perlu dijadikan amalan berterusan kerana ia bukan sahaja meningkatkan imej pasar malam, bahkan memberi keyakinan kepada pengguna serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian dalam media rasminya semalam selepas melancarkan Kempen Pasar Malam Bersih 2026 serta aplikasi digital Mylicense PBT pada majlis yang berlangsung pada 18 Julai di Pasar Malam Medan Tijari, Tanah Merah.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah, Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan menerusi kempen tersebut bagi menggalakkan penyertaan aktif para peniaga dalam membudayakan amalan kebersihan, antaranya penyampaian hadiah kepada pemenang Gerai Bersih dan Ceria sebagai pengiktirafan terhadap peniaga yang mengekalkan standard kebersihan terbaik di premis masing-masing,” katanya.
Selain itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada agensi dan pempengaruh media sosial (TikTokers) yang memainkan peranan membantu menjayakan kempen berkenaan serta menyebarluaskan mesej kepentingan menjaga kebersihan kepada masyarakat.
“Apron turut diedarkan kepada para peniaga sebagai galakan untuk meningkatkan tahap kebersihan pengendalian makanan, manakala beg kitar semula diagihkan kepada pengunjung sebagai usaha menggalakkan amalan mesra alam dan mengurangkan penggunaan bahan plastik sekali guna,” ujarnya.
Pada masa yang sama, pelancaran aplikasi Mylicense PBT menjadi satu lagi pencapaian penting Majlis Daerah Tanah Merah dalam memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, aplikasi itu akan memudahkan urusan pelesenan para peniaga melalui sistem yang lebih cekap, sistematik dan mesra pengguna, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan.
Tambahnya, pendekatan yang menggabungkan pembudayaan kebersihan dengan pemanfaatan teknologi digital mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pengurusan pasar malam agar lebih tersusun, moden dan memenuhi keperluan semasa.










