Accessibility Tools

Skip to main content

MDTM perkenal myLicensePBT, tingkat kecekapan pengurusan lesen perniagaan – YB Hilmi

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 20 Julai – Aplikasi myLicensePBT yang dibangunkan oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi digital pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan menerusi sistem pengurusan pelesenan perniagaan yang lebih cekap, sistematik dan berintegriti.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pembangunan aplikasi itu membuktikan keupayaan PBT di negeri ini menghasilkan inovasi sendiri yang praktikal, berimpak tinggi serta selari dengan agenda pendigitalan sektor awam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pembentangan dan demonstrasi aplikasi myLicensePBT yang dibangunkan oleh MDTM pada Sabtu.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut didorong penyertaan SMART TEAM MDTM sebagai satu-satunya PBT di Kelantan yang terpilih menyertai beberapa siri kursus intensif Bootcamp anjuran Google Malaysia.

Katanya, program itu memberi pendedahan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi awan (cloud), pengurusan data serta amalan terbaik dalam mempercepatkan proses pendigitalan organisasi.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh warga MDTM, khususnya pasukan SMART TEAM, atas usaha membangunkan aplikasi ini.

Inisiatif sebegini membuktikan bahawa PBT di Kelantan mampu melahirkan inovasi sendiri yang praktikal, berimpak tinggi dan selari dengan agenda pendigitalan sektor awam." katanya di laman rasmi, semalam.

YB Hilmi berkata, aplikasi myLicensePBT mampu mewujudkan pangkalan data peniaga berlesen yang lebih lengkap dan sentiasa dikemas kini, selain memudahkan pemantauan status lesen serta pembayaran secara masa nyata.

Tambahnya, aplikasi itu juga berupaya mengurangkan keciciran hasil akibat lesen yang tamat tempoh atau tidak diperbaharui, di samping mempercepatkan proses pengurusan, penguatkuasaan dan tindakan susulan terhadap peniaga.

"Aplikasi ini turut menyediakan analisis data yang membantu PBT merancang dasar, pembangunan kawasan perniagaan dan penyampaian perkhidmatan dengan lebih berkesan, selain meningkatkan kutipan hasil melalui pemantauan yang lebih efisien." ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi digital bukan sekadar memudahkan urusan pentadbiran, malah menjadi pemangkin kepada tadbir urus yang lebih telus, cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap myLicensePBT dapat terus diperkasakan serta diperluaskan penggunaannya ke seluruh PBT di Kelantan sebagai model pendigitalan yang mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuhkan sumber hasil dan menyokong pembangunan negeri.

Pautan berjaya disalin!