Program 'kucha suro' satukan anak Kelantan di perantauan- Menteri Besar
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 20 Julai - Program 'kucha suro' yang menghimpunkan anak Kelantan di perantauan bukan sekadar mengangkat juadah tradisi, sebaliknya menjadi lambang semangat gotong-royong dan perpaduan, kata Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Katanya, di sebalik kawah besar yang dipenuhi bubur asyura, tersimpan makna yang cukup mendalam apabila tradisi itu berjaya menyatukan masyarakat dalam suasana penuh muafakat dan muhibbah.
"Suasana meriah dengan hiruk-pikuk gelak tawa, usik-mengusik dan kemesraan anak-anak Kelate benar-benar menceriakan majlis.
"Walaupun masing-masing membawa haluan hidup di perantauan, apabila bertemu terasa seperti pulang ke kampung halaman.
"Apabila ramai-ramai berganding bahu mengacau bubur menggunakan batang pengacau yang panjang, di situlah terjalin silaturahim, bertukar cerita, mengeratkan ukhuwah dan menghidupkan kembali nostalgia anak-anak Kelate," katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
Tambah beliau, tradisi itu wajar terus dipelihara bukan sahaja sebagai warisan, malah bagi menyuburkan nilai kebersamaan yang menjadi kekuatan masyarakat.
"Bukan sekadar menjaga warisan, tetapi menyuburkan nilai kebersamaan yang menjadi kekuatan masyarakat kita," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Kucha Suro Perakan Cawangan Ampang pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur atas jemputan serta layanan mesra yang diberikan.
"Semoga ukhuwah ini terus mekar, tradisi ini terus diwarisi dan semoga kita dipertemukan lagi dalam suasana penuh kasih sayang dan kebersamaan, insya-Allah," katanya.










