Accessibility Tools

Skip to main content

Program Bina Ummah erat hubungan masyarakat di DUN Kemahang

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato Mejar Anizam

KOTA DARULNAIM, 19 Julai – Program Bina Ummah di Kampung Alor Pasir Dewan Negeri Kelantan (DUN) Kemahang pada Sabtu berlangsung meriah apabila menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh ukhuwah dan kemesraan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam AB Rahman yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, program anjuran kerajaan negeri yang diadakan saban tahun itu menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat selepas masing-masing sibuk dengan urusan harian.

Ujarnya, program itu memberi peluang kepada penduduk untuk bertemu, berkenalan dan mengukuhkan hubungan sesama komuniti, selain membolehkan mereka beramah mesra dengan pemimpin setempat dalam suasana santai.

"Melalui program yang diadakan setahun sekali ini, penduduk berpeluang bertemu, berkenalan dan mengukuhkan hubungan sesama komuniti. Kehadiran pemimpin setempat turut memberi peluang kepada rakyat untuk beramah mesra dalam suasana santai, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat," katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.

Tambah beliau, pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program, termasuk sukaneka yang mendapat sambutan menggalakkan, cabutan bertuah serta pengisian rohani yang memberi manfaat kepada para hadirin.

Program itu turut diserikan dengan jamuan rakyat yang dinikmati bersama oleh seluruh pengunjung.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Program Bina Ummah Zon Bukit Mas.

Katanya, persiapan yang dilakukan sepanjang minggu memastikan program itu berjalan lancar serta mencapai matlamat dalam menyemai semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Pautan berjaya disalin!