650 orang terima bantuan di Program KelantanKu Cakna DUN Wakaf Bharu
Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 19 Julai – Seramai lebih 650 orang menerima pelbagai bentuk skim bantuan menerusi Program KelantanKu Cakna DUN Wakaf Bharu 2026 yang berlangsung di Dewan Mahmoodiah, Kampung Kebakat, pada 16 Julai lalu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Dato' Rohani Ibrahim, sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh agenda kebajikan rakyat melalui pelbagai skim bantuan.
Dato' Rohani berkata, pembangunan sesebuah masyarakat bukan sekadar bergantung kepada bantuan material, sebaliknya perlu disokong dengan pendidikan yang mampu membina akhlak serta jati diri.
"Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terus terbela melalui pelbagai inisiatif seperti Skim Az-Ziwaaj, Skim Cakna Aulad, Skim Bantuan Armalah dan banyak lagi bantuan yang memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan," katanya di laman rasmi pada Jumaat.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata program itu berjaya menghimpunkan penerima-penerima skim bantuan kerajaan negeri di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat menerima manfaat.
Katanya, antara bantuan yang disampaikan ialah Adhoc Armalah, Sosio Ekonomi Armalah, Tokoh Armalah Berjaya DUN, Skim Manfaat Armalah, Skim Khairat Kifaalah, Skim Az-Ziwaaj, Bantuan Penyakit Kronik, Bantuan Beras Al-It'am, Skim Bina Usahawan (SBU) dan Tabung Serambi Mekah (TSM).
Pemilik Kedai Nasi Berlauk Kak Na Pohon Ketapang di Bendang Luas, Saliha Abdul Rahman
Pada majlis sama, pemilik Kedai Nasi Berlauk Kak Na Pohon Ketapang di Bendang Luas, Saliha Abdul Rahman dinobatkan sebagai Tokoh Armalah Berjaya DUN Wakaf Bharu 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan beliau mengusahakan perniagaan.
Menurut YB Mohd Rusli, program tersebut turut dimeriahkan dengan pameran daripada PERKESO, Azhana Optometrist, Farmasi Dzo Nazen dan Jabatan Bantuan Guaman, selain ceramah agama serta persembahan nasyid.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa pelaksana, urus setia, pihak Masjid Mahmoodiah Kampung Kebakat, semua agensi, para sukarelawan dan setiap pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan Program KelantanKu Cakna DUN Wakaf Bharu 2026," katanya di laman rasmi pada Jumaat.
Beliau berharap semangat kerjasama yang dipamerkan akan terus diperkukuh pada masa hadapan agar lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di DUN Wakaf Bharu.












