Accessibility Tools

Skip to main content

577 armalah Dabong terima bantuan khas RM115,400

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KUALA KRAI, 19 Julai – Sejumlah 577 armalah di Dewan Negeri (DUN) Dabong menerima bantuan khas berjumlah RM200 seorang membabitkan agihan keseluruhan sebanyak RM115,400, manakala baki RM4,600 daripada peruntukan RM120,000 akan dimanfaatkan bagi melaksanakan program sosioekonomi untuk memperkasakan golongan tersebut.

Ahli Dewan Negeri Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata, inisiatif itu dapat membantu meringankan beban kewangan armalah sekali gus memberi nilai tambah melalui pelaksanaan program yang mampu meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan ekonomi mereka.

“Baki RM4,600 daripada keseluruhan peruntukan RM120,000 akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan program sosioekonomi armalah di DUN Dabong sebagai usaha memperkasakan kehidupan golongan tersebut secara berterusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat selaras dengan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang meletakkan kesejahteraan masyarakat sebagai antara keutamaan pentadbiran negeri.

Menurutnya, usaha mendekati dan menyantuni rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat sentiasa menjadi tanggungjawab yang diutamakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian menerusi media rasminya selepas menghadiri Majlis Himpunan Armalah Peringkat Dabong yang berlangsung di Medan Ilmu Surau Hijau Gua Ikan, Dabong, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau memulakan program dengan menyampaikan Kuliah Duha sebelum bertemu masyarakat setempat dalam suasana penuh ukhuwah.

Katanya, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan memahami keperluan sebenar rakyat di samping mengukuhkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat.

Sehubungan itu, YB Ku Mohd Zaki menegaskan, seorang ibu tunggal bukan kuat kerana hidupnya mudah, sebaliknya kerana mereka memilih untuk terus bangkit walaupun berdepan kehilangan dan pelbagai ujian kehidupan.

Beliau berkata, setiap pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan armalah dalam membesarkan anak-anak merupakan cerminan kekuatan jiwa yang wajar dihargai oleh seluruh masyarakat.

“Kekuatan sebenar bukan terletak pada harta atau kedudukan, sebaliknya pada hati yang sentiasa reda, sabar dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!