Dato' Mumtaz bawa usul tergempar isu Network School ke Dewan Rakyat
Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 14 Julai — Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini berhubung operasi Network School di Forest City termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Beliau berkata, usul itu akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu yang disifatkan menyentuh aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
“Isu Forest City sering dibangkitkan di Parlimen khususnya kerana kawasan itu digelar sebagai 'bandar hantu'.
“Dalam isu ini, antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan platform ekonomi, pelaburan dan pendidikan untuk menembusi negara termasuk didakwa memasuki Malaysia secara tidak sah menggunakan pasport negara kedua,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menurutnya, selain dakwaan berhubung penyertaan warga Israel dalam program tersebut, kerajaan juga perlu menjelaskan kedudukan pembangunan Forest City yang sehingga kini dilihat gagal mencapai matlamat asal.
“Turut timbul persoalan bagaimana sebuah projek pembangunan berskala besar seperti Forest City gagal mencapai matlamat asal sehingga banyak kawasan tidak dihuni dan aktiviti ekonomi tidak berkembang seperti dirancang.
“Keadaan itu akhirnya mendorong pelbagai inisiatif untuk menarik pelaburan dan penempatan penduduk ke kawasan berkenaan,” katanya.
Jelasnya, terdapat dua isu utama yang perlu ditangani kerajaan secara serentak iaitu pembangunan Forest City dan aspek keselamatan negara.
“Justeru, terdapat dua isu yang perlu diselesaikan serentak oleh kerajaan iaitu isu pembangunan Forest City yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Ekonomi atau Menteri Kewangan serta isu keselamatan dan kedaulatan negara yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary.










