Dato' Mumtaz gesa kerajaan perkukuh dasar kerja anjal demi ekonomi dan institusi keluarga
Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 14 Julai — Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi menggesa kerajaan memperkukuh pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dan aturan kerja fleksibel (AKF) menerusi dasar yang lebih komprehensif bagi meningkatkan produktiviti ekonomi, melindungi kebajikan pekerja serta memperkukuh institusi keluarga.
Beliau berkata, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 telah memberikan hak kepada pekerja memohon aturan kerja fleksibel melibatkan perubahan waktu, hari dan lokasi kerja.
"Pelaksanaan dasar tersebut berpotensi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi majikan, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memperluaskan penyertaan tenaga kerja khususnya wanita dan ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
"Walau bagaimanapun, pelaksanaan BDR dan AKF turut menimbulkan beberapa cabaran termasuk aspek pemantauan prestasi, keselamatan siber, kerahsiaan maklumat, kemudahan infrastruktur digital serta keseimbangan antara tuntutan pekerjaan dan keluarga," katanya dalam Sidang Parlimen, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan penilaian terhadap keberkesanan pelaksanaan BDR dan AKF dari sudut produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan penyertaan tenaga kerja negara.
Beliau turut meminta kerajaan menyatakan jumlah syarikat serta agensi yang melaksanakan BDR dan AKF mengikut sektor awam dan swasta, selain model terbaik yang telah dikaji daripada negara seperti Singapura, United Kingdom dan Belanda.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan undang-undang termasuk memperkenalkan hak 'right to disconnect', garis panduan audit prestasi dan pemantauan produktiviti, perlindungan keselamatan siber serta kerahsiaan maklumat organisasi.
Dato' Mumtaz juga mencadangkan supaya kerajaan menyediakan insentif kepada majikan bagi membekalkan kemudahan digital, peralatan kerja dan bantuan internet kepada pekerja.
Beliau juga mengesyorkan agar penjimatan kos operasi hasil pelaksanaan BDR diterjemahkan kepada manfaat ekonomi kepada pekerja melalui elaun utiliti rumah, internet, penjagaan anak serta insentif cukai.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membantu pasangan muda yang mempunyai anak kecil, meningkatkan kesejahteraan keluarga serta menggalakkan lebih ramai wanita kekal dalam pasaran pekerjaan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berpandangan positif terhadap cadangan Dato Mumtaz agar aturan kerja fleksibel ditukar kepada Akta Kerja Fleksibel kerana uusl tersebut mempunyai asas yang kukuh.
Beliau berkata, bagi sektor swasta, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 melalui Seksyen 60P dan 60Q memberi hak kepada pekerja memohon perubahan waktu, hari dan lokasi bekerja termasuk bekerja dari rumah, tertakluk kepada pertimbangan majikan.
Bagi sektor awam pula, beliau menjelaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam menetapkan ketua jabatan perlu memantau prestasi pegawai yang bekerja dari rumah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.
Mengulas keberkesanan pelaksanaan AKF, beliau berkata kajian Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang menunjukkan impak positif terhadap produktiviti pekerja dan organisasi.
“Sebanyak 80 peratus pekerja di Lembah Klang melaporkan peningkatan prestasi kerja selepas pelaksanaan AKF.
“Di Johor, 72 peratus pekerja menyatakan mereka lebih produktif apabila diberikan fleksibiliti menentukan waktu mula dan tamat kerja, manakala 64.4 peratus mengakui bekerja dari rumah membantu meningkatkan fokus terhadap tugasan,” katanya dalam Sidang Parlimen, hari ini.
Katanya lagi, di Pulau Pinang pula, 77 peratus majikan melaporkan peningkatan kecekapan operasi selepas melaksanakan AKF.
Menurutnya, kajian sama mendapati 76.5 peratus pekerja berjaya menjimatkan kos perjalanan termasuk petrol, tol dan tambang pengangkutan awam hasil pelaksanaan AKF.
Beliau berkata, pendekatan itu turut membuka peluang kepada lebih ramai wanita, ibu bapa, penjaga ahli keluarga, warga emas yang masih produktif serta individu yang mempunyai kekangan mobiliti untuk terus menyertai pasaran pekerjaan.
Mengulas cadangan memperkenalkan right to disconnect, beliau berkata Akta Kerja 1955 ketika ini belum memperuntukkan hak tersebut, namun majikan digalakkan menetapkan polisi dalaman yang jelas berkaitan komunikasi di luar waktu bekerja dan kesejahteraan pekerja.
Beliau juga memaklumkan, kerajaan turut menyediakan insentif potongan cukai sebanyak 50 peratus kepada majikan yang melaksanakan AKF bagi tahun taksiran 2025 hingga 2027 meliputi kos latihan, pembangunan kapasiti dan perolehan perisian, dengan jumlah tuntutan sehingga RM500,000 tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Tambahnya, kerajaan akan terus mempergiat advokasi kepada majikan mengenai manfaat AKF sebagai usaha menyokong kesejahteraan pekerja, memperkukuh institusi keluarga serta meningkatkan penyertaan tenaga kerja khususnya dalam kalangan wanita.








