KBHM tawar laluan rata, peluang pelari cipta rekod peribadi
Oleh Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Zamakhshari
KOTA DARULNAIM, 15 Julai – Kota Bharu Half Marathon (KBHM) 2026 yang bakal memasuki penganjuran edisi ketiga pada September ini terus menawarkan kelebihan kepada peserta menerusi laluan larian yang rata dengan kadar jumlah pendakian 'elevation gain' sekitar 22 meter.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad memaklumkan, laluan berkenaan dijangka memberi peluang kepada pelari, sama ada dalam kategori elit mahupun amatur, untuk mencipta rekod peribadi terbaik (Personal Best) masing-masing.
"Selain memberi cabaran kepada peserta untuk mencatat masa terbaik, KBHM turut menawarkan pengalaman larian yang menggabungkan keindahan bandar dan suasana kampung sekitar Kota Bharu kepada peserta dari pelbagai negeri," katanya di media sosial pada Selasa.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat pengurusan KBHM di pejabatnya, di Mabna Kompleks Kota Darulnaim semalam.
YB Zamakhshari turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa KBHM atas komitmen mereka dalam meningkatkan mutu sukan larian di Kelantan.
"Diharapkan penganjuran KBHM yang dijadual berlangsung pada September ini akan berjalan lancar dan meriah," katanya.
Acara yang bakal berlangsung pada 5 September ini membabitkan tiga kategori iaitu 21 kilometer (km), 10km dan 5km yang bermula di Dewan Jubli Perak, Padang Perdana Kota Bharu.








