Accessibility Tools

Skip to main content

YB Mohd Rusli santuni 136 pelajar DUN Wakaf Bharu berjaya ke IPTA

Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media YB Mohd Rusli

TUMPAT, 14 Julai – Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah menyantuni 136 pelajar cemerlang yang bakal melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerusi Majlis Meraikan Pelajar Cemerlang dan Pelajar ke IPTA DUN Wakaf Bharu 2026 di Wisma Purnama, Wakaf Bharu, semalam.

YB Mohd Rusli berkata, penganjuran program tahunan itu merupakan tanda penghargaan dan sokongan DUN Wakaf Bharu terhadap anak-anak yang telah membuktikan kesungguhan dalam pelajaran, selain memberi suntikan semangat sebelum mereka melangkah ke alam pengajian tinggi.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai menjadi kebanggaan peribadi, ibu bapa, guru, sekolah dan seluruh masyarakat di DUN Wakaf Bharu.

"Tahniah kepada semua adik-adik atas kejayaan yang diraih, juga buat ibu bapa dan guru-guru yang tidak pernah jemu memberi dorongan. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan diri dan keluarga, malah turut mengharumkan nama sekolah serta DUN Wakaf Bharu,” katanya di laman rasmi, semalam.

Tambahnya, generasi muda merupakan aset paling bernilai kepada negeri dan negara yang perlu terus diperkasakan melalui pendidikan bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Beliau turut menyeru para pelajar agar memanfaatkan peluang menimba ilmu sebaik mungkin serta kembali menyumbang kepakaran kepada keluarga, masyarakat dan negeri selepas menamatkan pengajian.

" Anak-anak inilah aset paling bernilai buat negeri dan negara. Teruskan melangkah dengan yakin, rebut setiap peluang untuk menimba ilmu, membina masa depan yang lebih baik, seterusnya kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan tanah air,” ujarnya.

Pada majlis itu, setiap pelajar menerima sijil penghargaan dan sumbangan wang tunai sebagai tanda pengiktirafan atas pencapaian mereka serta galakan untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam pengajian.

YB Mohd Rusli berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan akademik dan menjadi generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Kelantan dan negara pada masa hadapan.

Pautan berjaya disalin!