Accessibility Tools

Skip to main content

20 wasi di Mengkebang terima sumbangan Skim Khairat Kifaalah

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 14 Julai – Sebanyak 20 wasi (waris si mati) di DUN Mengkebang menerima sumbangan sekali beri (one-off) berjumlah RM1,000 seorang menerusi Skim Khairat Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan dalam majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Mengkebang, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, skim tersebut merupakan antara inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membantu meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata demikian dalam media sosial selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Khairat Kifaalah di Pusat Khidmat DUN Mengkebang, semalam.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan bertujuan memberi sokongan dari sudut kewangan dan sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat ketika berdepan saat sukar.

Di samping itu, YB Zubir turut mengingatkan masyarakat,  setiap manusia pasti akan melalui saat kematian yang tidak dapat dielakkan dan tiada seorang pun mengetahui bila serta di mana ajal akan menjemput.

“Kematian itu pasti, tidak akan diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Tiada seorang pun mengetahui bila, di mana dan bagaimana saat itu akan tiba.

“Orang yang bijaksana ialah mereka yang sentiasa beringat dan bersedia dengan iman, amal soleh, taubat yang berterusan serta akhlak yang baik,” katanya.

Beliau berharap Skim Khairat Kifaalah akan terus memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, di samping memperkukuhkan agenda kebajikan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Pautan berjaya disalin!