Kerajaan disaran wujudkan Majlis Perundingan tentukan harga padi, beras - Dato' Siti Zailah
Oleh: Asri Hamat
KUALA LUMPUR, 14 Julai - Kerajaan disaran menubuhkan Majlis Perundingan Harga Padi dan Beras Negara yang dianggotai wakil pesawah, pengilang, pengguna, ahli akademik serta kerajaan bagi memastikan setiap keputusan mengenai penetapan harga padi dan beras dibuat secara lebih menyeluruh dan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff berkata majlis itu penting bagi memastikan penetapan harga mengambil kira kepentingan semua pihak yang terbabit.
Menurutnya, penetapan harga dibuat hendaklah mengambil kira kos sebenar yang ditanggung oleh pesawah termasuk kenaikan harga baja, racun, benih dan kos pembajakan, selain margin keuntungan pengilang serta pemborong dan kemampuan pengguna.
"Jika harga maksimum yang terlalu rendah akan menyebabkan pesawah menanggung kerugian, manakala harga yang terlalu tinggi pula akan membebankan pengguna," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras di Dewan Rakyat, semalam.
Menyentuh tentang cadangan untuk menaikkan penalti sehingga RM1 juta terhadap syarikat yang melakukan kesalahan berulang, Dato' Siti Zailah menyambut baik cadangan tersebut namun mempersoalkan sama ada hukuman lebih berat sebegitu mampu menjamin pematuhan.
Beliau berpandangan, hukuman yang tinggi tidak akan memberi kesan sekiranya pemeriksaan jarang dilakukan, audit tidak konsisten, pendakwaan mengambil masa terlalu lama dan penguatkuasaan hanya dijalankan secara bermusim.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian menjelaskan jumlah pegawai penguat kuasa yang berada di lapangan, jumlah operasi pemeriksaan bulanan, bilangan kilang yang diperiksa, jumlah syarikat yang didakwa serta lesen yang dibatalkan setakat ini.
"Sekiranya angka berkenaan masih rendah, pindaan undang-undang itu tetap lemah dari segi pelaksanaannya," katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya syarikat yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras disenarai hitam daripada menerima kontrak kerajaan atau lesen baharu bagi tempoh tertentu.
Dato' Siti Zailah turut menzahirkan kebimbangan apabila terlalu banyak perkara asas diserahkan kepada kuasa menteri melalui peraturan seperti pelesenan pembeli padi, penetapan gred beras, kawalan harga, kawalan pemindahan padi dan beras melalui peraturan.
"Saya bimbang apabila terlalu banyak perkara asas ini diserahkan kepada kuasa menteri melalui peraturan, kta bimbang tidak berlaku keadilan.
"Saya berharap perkara itu dibentangkan di Parlimen supaya dapat diteliti oleh semua Ahli Parlimen selaras dengan prinsip semak dan imbang," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan supaya setiap pengecualian iaitu kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada individu, syarikat atau sesuatu urusan untuk tidak tertakluk kepada peruntukan tertentu di bawah akta berkenaan hendaklah disertakan dengan alasan bertulis, direkodkan dan diterbitkan secara terbuka, selain laporan tahunan semua pengecualian dibentangkan di Parlimen.
Di samping itu, beliau mengesyorkan supaya mana-mana syarikat yang disabitkan kesalahan di bawah akta itu tidak diberi pengecualian sewenang-wenangnya bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.








