Program Bina Ummah lahirkan Komuniti Rabbani di peringkat rakyat
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
KOTA DARULNAIM, 11 Julai — Program Bina Ummah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan menjadi antara usaha berterusan dalam melahirkan Komuniti Rabbani (K-Rabb) di peringkat rakyat melalui pengukuhan akidah, pembinaan sahsiah serta penyuburan budaya hidup bermasyarakat berteraskan nilai Islam.
Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, inisiatif anjuran Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan itu bertujuan membentuk masyarakat yang kukuh pegangan akidah, berakhlak mulia, sihat tubuh badan, erat silaturahim, mencintai ilmu serta berganding bahu membangunkan kampung dan negeri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil itu berkata demikian ketika merasmikan Program Bina Ummah DUN Guchil di Kampung Bahagia, Kuala Krai yang menghimpunkan penyertaan penduduk pelbagai peringkat umur dari kawasan sepanjang Sungai Kelantan dan Sungai Galas, pada Jumaat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil, YB Hilmi Abdullah
Menurutnya, program tersebut diisi dengan pelbagai pengisian yang menyentuh aspek pembangunan rohani, sosial dan kesejahteraan komuniti.
“Program ini menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka, pengisian ilmu, aktiviti kesihatan, pameran agensi serta ziarah Skuad Kita Cakna (SKC).
“Suasana program berlangsung meriah dengan diselang-seli acara cabutan bertuah sebelum diakhiri dengan jamuan rakyat serta solat Jumaat pemimpin bersama rakyat,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kampung Bahagia mempunyai keunikan tersendiri kerana terletak di kawasan pedalaman Kuala Krai dan hanya boleh diakses dengan menyusuri Sungai Kelantan.
Katanya, kampung tersebut dahulunya dikenali sebagai Kampung Berhala sebelum ditukar kepada Kampung Bahagia oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Rahman bagi membawa maksud yang lebih baik serta selaras dengan identiti masyarakat Islam.
Tambahnya, perjalanan mudik sejauh kira-kira 45 minit ke kampung berkenaan bukan sahaja menawarkan pengalaman yang unik, malah menggambarkan keindahan alam semula jadi serta ketabahan masyarakat pedalaman.
Terdahulu, beliau bersama kakitangan Pusat Khidmat ADN Guchil menyusuri Sungai Kelantan sebelum merasmikan program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, penghulu, jawatankuasa pembangunan kampung, sukarelawan dan penduduk Kampung Bahagia yang berganding bahu menjayakan program tersebut.
“Semoga ikhtiar kecil ini menjadi asbab lahirnya masyarakat yang lebih berilmu, sihat, bersatu dan diberkati Allah SWT,” katanya.
















