27 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur terima sumbangan Tabung Bencana Kebakaran DUN Kijang
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 9 Julai - Sebanyak 27 ketua keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur baru-baru ini menerima sumbangan daripada Tabung Bencana Kebakaran DUN Kijang, hasil kutipan berjumlah kira-kira RM337,000 daripada pelbagai pihak.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Dr. Izani Husin.
Beliau berkata, sumbangan itu berjaya dikumpulkan hasil sumbangan agensi, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta, NGO serta orang perseorangan.
Katanya, antara penyumbang tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Pejabat Tanah Jajahan Tanah Merah, Air Kelantan Sdn Bhd, Ladang Rakyat, Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) dan lain-lain.
"Alhamdulillah kita berjaya mengumpul lebih kurang RM337,000 hasil sumbangan daripada pelbagai pihak. Ada daripada agensi, anak syarikat Kelantan, orang perseorangan dan syarikat swasta. Ada penyumbang yang kita tahu dan ada juga yang kita tidak tahu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa di Hostel Pantai, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan 27 penerima, seramai 25 ketua keluarga yang mengalami kemusnahan keseluruhan menerima sumbangan sebanyak RM12,840.25 setiap seorang, manakala dua lagi keluarga yang hanya mengalami kerosakan kecil dan masih mendiami rumah masing-masing menerima RM8,000 setiap seorang.
YB Dato' Dr Izani turut melahirkan rasa syukur atas keprihatinan rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa.
"Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana rakyat yang berkemampuan melaksanakan tanggungjawab mereka membantu mangsa-mangsa kebakaran.
"Kita juga bersyukur kerana rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia mudah untuk menyumbang. Kita juga berharap mangsa-mangsa kebakaran bersabar dengan musibah yang berlaku," katanya.
Menurutnya lagi, kebanyakan mangsa masih bekerja seperti biasa dan tidak kehilangan punca pendapatan, manakala kehilangan harta benda sedikit sebanyak telah dibantu melalui pelbagai saluran.
"Apa yang hilang itu telah dibantu sedikit sebanyak oleh Pusat Khidmat DUN Kijang, Masjid Banggol, NGO dan agensi kerajaan. Tergantilah sedikit sebanyak barang yang musnah dalam kebakaran itu.
"Jadi kita harap penerima sumbangan ini pandai menguruskan kewangan dengan baik," katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kelantan turut menyalurkan bantuan sewa rumah sebanyak RM500 sebulan selama tiga bulan kepada mangsa, manakala Masjid Mukim Banggol menambah bantuan bagi tempoh dua bulan lagi.
"Jadi mereka duduk di rumah sewa selama lima bulan tanpa perlu membayar sewa. Selepas lima bulan barulah mereka perlu membayar sewa.
"Sebagaimana kita tahu, penduduk di kawasan kebakaran itu merupakan golongan miskin. Jadi kita harap mereka pandai menguruskan sumbangan yang diterima untuk kegunaan masa depan," katanya.
Dalam majlis tersebut turut disampaikan sijil penghargaan kepada para penyumbang.
















