Kelantan ada rekod tadbir urus yang wajar dihormati – YB Abdul Latiff
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman menegaskan Kelantan mempunyai rekod tadbir urus yang wajar dihormati selama hampir 36 tahun ditadbir oleh kerajaan yang sama tanpa berdepan skandal rasuah besar melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.
Beliau berkata rekod tersebut mencerminkan integriti pentadbiran, disiplin kewangan serta hubungan erat antara kerajaan dengan rakyat yang sewajarnya dijadikan contoh, bukannya dipandang sebelah mata atau dijadikan sasaran serangan politik.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong YB Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji dan Ahli Parlimen Kampar YB Chong Zhemin berhubung indeks jenayah di Kelantan di Dewan Rakyat, semalam.
YB Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh membina persepsi negatif terhadap negeri dan rakyat Kelantan.
Menurutnya, kritikan terhadap dasar kerajaan negeri adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun tuduhan yang tidak disokong oleh fakta dan data rasmi adalah tidak adil serta boleh mencemarkan imej negeri.
"Data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia perlu dijadikan rujukan, bukannya sentimen politik atau persepsi media sosial. Jangan kerana perbezaan politik, seluruh rakyat Kelantan dihukum dengan label yang tidak tepat," jelasnya.
Beliau turut menegaskan, isu jenayah merupakan tanggungjawab nasional yang melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan Persekutuan dan tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri semata-mata.
Menurutnya lagi, jika kadar jenayah dijadikan ukuran untuk menyalahkan kerajaan negeri, maka pendekatan yang sama juga perlu digunakan terhadap semua negeri tanpa mengira parti yang mentadbir.
YB Abdul Latiff memaklumkan, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab dakwaan yang dibangkitkan sebelum ini dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa mengeluarkan tuduhan berniat jahat sehingga mencemarkan imej serta reputasi negeri.
"Kalau benar mahu membina Malaysia yang lebih baik, marilah kita menilai negeri berdasarkan fakta, bukan fitnah. Berdasarkan data, bukan sentimen. Jenayah perlu ditangani dengan penguatkuasaan yang berkesan, rasuah perlu dibanteras di mana sahaja ia berlaku, dan integriti mesti dihormati tanpa mengira warna politik," tegasnya.
Beliau turut menggesa semua pihak agar menghormati konsep federalisme serta hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan menilai prestasi sesebuah negeri secara adil, berasaskan fakta dan statistik yang sahih demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.








