Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkukuh sokongan pelajar di Korea melalui kerjasama kedutaan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB TMB dan FB Dato' Wan Roslan

KOTA DARULNAIM, 12 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh mekanisme sokongan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Republik Korea menerusi kerjasama erat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Seoul meliputi aspek kebajikan, keselamatan, pembangunan akademik serta penyesuaian sepanjang berada di negara berkenaan.

Usaha itu menjadi antara fokus utama kunjungan hormat delegasi Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan ke Kedutaan Besar Malaysia di Seoul yang disambut Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Dato' Mohd Zamruni Khalid.

Dato' Dr Mohamed Fadzli berkata, kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan negeri untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa dalam pembangunan modal insan, pendidikan serta pemindahan teknologi.

Menurutnya, pertemuan itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan institusi di samping membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), pemindahan teknologi serta pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi.

“Antara fokus utama perbincangan ialah memperkukuh mekanisme sokongan kepada pelajar Kelantan yang bakal melanjutkan pengajian di Republik Korea, khususnya dari aspek kebajikan, keselamatan, pembangunan akademik dan penyesuaian mereka sepanjang berada di negara ini melalui kerjasama erat bersama Kedutaan Besar Malaysia di Seoul,” katanya menerusi media sosial, pada Khamis.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan komited memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa sebagai sebahagian daripada strategi memperkasa ekosistem pembangunan modal insan, memperluas akses kepada pendidikan bertaraf global serta melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan daya saing negeri pada masa depan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul atas kesudian menerima delegasi kerajaan negeri serta komitmen berterusan dalam menyokong agenda pembangunan modal insan Kelantan di peringkat antarabangsa.

Dalam rangka lawatan itu, delegasi Kerajaan Negeri Kelantan turut mengadakan sesi ramah mesra bersama anak Kelantan yang sedang melanjutkan pengajian di Republik Korea.

Turut hadir wakil Persatuan Pelajar Malaysia di Korea serta pelajar Kelantan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang kini menuntut di republik berkenaan.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat yang turut serta bersama delegasi memaklumkan, sesi tersebut memberi peluang kepada delegasi bertanya khabar, mendengar pengalaman serta berkongsi pandangan dengan pelajar mengenai suasana pembelajaran, kehidupan di Korea dan cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian.

Katanya, kerajaan negeri turut berharap persatuan pelajar dan pelajar senior dapat memainkan peranan sebagai mentor kepada pelajar Kelantan yang dijadual memulakan pengajian di Republik Korea pada September ini.

“Sokongan daripada rakan-rakan pelajar yang lebih berpengalaman amat penting bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana baharu, budaya setempat serta kehidupan sebagai penuntut di luar negara,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!