Accessibility Tools

Skip to main content

Penganjur program hiburan di restoran tepi Sungai Kelantan dikompaun, berdepan tindakan undang-undang

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 Julai – Penganjur program hiburan disko 'retro' dan 'hippie' ala 60-an serta 70-an yang dipercayai diadakan di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan berdepan tindakan undang-undang selepas didapati tidak mempunyai kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata tindakan tersebut diambil susulan penularan video berdurasi 40 saat pada Selasa yang memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program berkenaan.

Katanya, rentetan itu juga Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa MPKB-BRI menjalankan operasi serta siasatan pada petang tadi.

"Hasil siasatan selepas mengambil keterangan daripada saksi dan pihak terbabit mendapati penganjur program hiburan itu tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan kepada MPKB-BRI," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, penganjur didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Selain itu, penganjur turut didakwa melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Jelas YB Hilmi lagi, pemilik premis perniagaan juga boleh dikenakan kompaun serta berdepan pembatalan lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.

"Berikutan itu, beberapa notis kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur dan pemilik premis di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019," tegasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri kekal konsisten dalam memastikan adab, budaya dan akhlak, khususnya dalam kalangan generasi muda, sentiasa dijaga dan dipelihara.

"Kerajaan negeri juga bersedia membimbing serta membantu mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang bentuk acara hiburan supaya mematuhi peraturan dan garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Kelantan," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!