Karnival Rakyat Prihatin Alam semai kesedaran pemuliharaan alam – Datuk Seri Takiyuddin
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 8 Julai - Program Karnival Rakyat Prihatin Alam menjadi medium penting dalam menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar, kata Ahli Parlimen Kota Bharu YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya lagi, program yang dianjurkan secara kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan itu memberi makna besar dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap kebersihan serta pemeliharaan alam sekitar.
Menurutnya, program berkenaan dikendalikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
"Terlebih dahulu, bagi pihak Parlimen Kota Bharu saya mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada KPKT, MPKB-BRI, agensi-agensi kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri yang telah menjayakan program yang cukup besar ertinya kepada masyarakat, khususnya di bandar Kota Bharu," katanya ketika merasmikan Program Karnival Rakyat Prihatin Alam, Parlimen Kota Bharu, di pekarangan Masjid Sultan Muhammad II Telipot, di sini, pada Sabtu.
Seterusnya, Datuk Seri Takiyuddin memaklumkan, pihak berkuasa tempatan di bawah penyeliaan KPKT mempunyai agenda besar untuk meningkatkan kesejahteraan warga bandar dalam pelbagai aspek kehidupan, terutama membabitkan kebersihan dan pemuliharaan alam sekitar yang sentiasa diberi penekanan oleh kerajaan.
Jelasnya, program seumpama itu penting bagi menyemai kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab memelihara alam sekitar, selaras dengan tuntutan Islam yang amat menitikberatkan kebersihan.
"Allah SWT turut menjelaskan bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi kebanyakannya berpunca daripada perbuatan manusia, justeru masyarakat perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
"Contoh amalan baik, penyokong Jepun yang membersihkan stadium selepas perlawanan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung membuktikan budaya menjaga kebersihan mampu dipupuk sehingga menjadi amalan masyarakat.
"Walaupun majoriti mereka bukan beragama Islam, mereka menghayati nilai kebersihan yang amat dituntut dalam Islam. Ini adalah contoh yang perlu diambil oleh kita semua, khususnya di Kelantan yang membawa falsafah 'Membangun Bersama Islam'," katanya.
Tambahnya, kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan serta institusi masyarakat termasuk persatuan penduduk diyakini mampu menjadikan Kelantan sebagai negeri yang mementingkan kebersihan.
"Kalaupun kita tidak mempunyai projek-projek mega yang besar, jika kita dapat muncul sebagai negeri yang diberi pujian dan pengiktirafan kerana mementingkan kebersihan, itu sudah menjadi satu pencapaian yang amat baik.
"Konsep 'Jumpa Sampah Kutip' yang diamalkan pada zaman Allahyarham Tok Guru pernah mendapat pujian di seluruh negara. Jika amalan itu diteruskan, ia adalah sesuatu yang cukup baik," ujarnya.












