MoU YIK-KATA buka peluang anak Kelantan lanjut pengajian ke Korea
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOREA, 8 Julai – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Korea Aviation Technical Academy (KATA) membuka lembaran baharu dalam pembangunan pendidikan negeri apabila Kerajaan Negeri Kelantan bakal menghantar kumpulan pertama pelajar ke Republik Korea bagi mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerjasama strategik tersebut merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan akses pendidikan antarabangsa kepada anak-anak Kelantan, khususnya dalam bidang teknikal dan kemahiran berimpak tinggi.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu, pengalaman serta kemahiran di peringkat global sekali gus melahirkan modal insan yang berdaya saing.
Beliau berkata demikian dalam media rasminya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YIK dan KATA yang berlangsung semalam.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, bersama Pengerusi Korea Aviation Technical Academy Mr. Choi Jin-cheol, serta disaksikan oleh Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar.
Dalam pada itu, Dato’ Wan Roslan berkata, kerjasama antara YIK dan KATA membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh agenda pendidikan melalui jaringan antarabangsa yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan negeri.
Katanya lagi, pendedahan kepada sistem pendidikan dan latihan di luar negara akan membolehkan pelajar memperoleh pengalaman baharu serta menguasai kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini.
Tambahnya, bidang Kejuruteraan Mekanikal yang bakal diikuti oleh kumpulan pertama pelajar di Republik Korea juga berpotensi melahirkan tenaga mahir yang dapat menyumbang kepada pembangunan sektor industri dan teknologi pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama tersebut menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai anak Kelantan yang cemerlang dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan, di samping mengangkat nama negeri di peringkat antarabangsa.
“Usaha ini membuka peluang pendidikan yang lebih luas kepada anak-anak Kelantan dan menjadi pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” jelasnya.














