Accessibility Tools

Skip to main content

120 peserta sertai taklimat Program Dapur Hijau jajahan Bachok

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media UTS

KOTA DARULNAIM, 8 Julai - Sebanyak 120 peserta menyertai Taklimat Program Dapur Hijau Peringkat Jajahan Bachok yang berlangsung di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Negeri (PKD) Jelawat pada Selasa. 

Program tersebut dirasmikan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zambri Mat Nawang, ADN Tawang Harun Ismail dan Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusof.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Sehubungan itu, Dato' YB Tuan Mohd Saripudin berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh agenda keterjaminan makanan melalui pembudayaan amalan bercucuk tanam di peringkat isi rumah.

Katanya, program berkenaan mengangkat tema "Keluarga Bertani, Sihat Harmoni" bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat mengusahakan kebun mini di kediaman masing-masing.

"Sebanyak 40 peserta dipilih bagi setiap DUN di jajahan Bachok menyertai taklimat ini sebagai persediaan untuk melaksanakan projek Dapur Hijau di kediaman masing-masing.

"Peserta turut diberikan pendedahan berkaitan teknik penanaman serta pengurusan kit pemula yang mengandungi benih, baja, polibeg dan medium tanaman," katanya menerusi media sosial pada, semalam

Beliau berharap program berkenaan dapat menyemarakkan budaya satu keluarga, satu kebun mini, sekali gus melahirkan lebih ramai keluarga yang berdikari, mengurangkan kos sara hidup dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBC) dan Jabatan Pertanian Kelantan atas komitmen menjayakan Program Dapur Hijau yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pautan berjaya disalin!