Accessibility Tools

Skip to main content

Hak kanak-kanak perlu diperkasa dengan nilai Islam, bukan sekadar hak asasi – Dato' Mumtaz

Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi menegaskan hak kanak-kanak di Malaysia perlu diperkasa berteraskan nilai Islam yang menyeimbangkan aspek hak, tanggungjawab dan perlindungan, bukannya berlandaskan pendekatan hak asasi semata-mata.

Beliau berkata, hak kanak-kanak menurut Islam merangkumi hak untuk dibesarkan dalam keluarga yang penyayang, menerima pendidikan agama, dibimbing dengan adab, dilatih mendirikan solat, menguasai al-Quran serta dilindungi daripada ancaman dunia digital bagi melahirkan generasi berakhlak, berilmu dan bertanggungjawab. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh hanya meniru pendekatan hak asasi dari luar tanpa mengambil kira Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta nilai masyarakat majmuk yang menjadi asas pembentukan negara.

"Hak kanak-kanak menurut Islam bukan sekadar hak untuk bebas daripada penderaan atau diskriminasi, tetapi hak untuk dibesarkan dalam keluarga yang penyayang, mendapat pendidikan agama, dibimbing dengan adab, dilatih mendirikan solat, menguasai al-Quran, dilindungi daripada kerosakan digital serta membesar menjadi insan yang berakhlak, berilmu dan bertanggungjawab," katanya.

Dato' Mumtaz menegaskan, prinsip hak asasi perlu diperkukuhkan dengan elemen pembinaan akhlak, kesejahteraan keluarga dan tanggungjawab bersama antara ibu bapa, masyarakat serta kerajaan dalam membentuk generasi masa depan yang seimbang.

Beliau turut mencadangkan Dasar Kanak-Kanak Negara 2026-2030 disemak secara berkala supaya sentiasa relevan dengan cabaran semasa, khususnya perkembangan kecerdasan buatan (AI), media sosial, buli siber, eksploitasi seksual dalam talian, perjudian digital dan ketagihan gajet.

"Malaysia perlu mempunyai garis panduan penggunaan AI di sekolah serta memastikan platform AI memikul tanggungjawab terhadap keselamatan kanak-kanak," jelasnya.

Pengamal undang-undang itu turut menegaskan pendidikan agama, akhlak dan adab merupakan hak asasi setiap kanak-kanak yang perlu diperkasakan melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan, termasuk memperkukuh latihan amali solat serta penguasaan al-Quran sejak usia muda.

Selain itu, beliau mencadangkan kawalan lebih berkesan terhadap kandungan media sosial dan televisyen yang boleh memudaratkan perkembangan emosi serta akidah kanak-kanak, di samping memperluaskan pendidikan literasi media dan keselamatan digital di sekolah.

Dalam perbahasan itu, Dato' Mumtaz turut menggesa kerajaan memperkukuh pendekatan mesra kanak-kanak dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi latihan khas, penambahbaikan Pusat Temu Bual Kanak-Kanak di setiap negeri serta pendekatan yang lebih berfokus kepada pemulihan trauma mangsa.

Tambahnya, isu buli dan jenayah melibatkan kanak-kanak juga perlu ditangani secara menyeluruh melalui intervensi psikologi, bimbingan agama, pemulihan keluarga dan sokongan komuniti kerana kedua-dua mangsa serta pelaku memerlukan pembelaan dan pemulihan yang sewajarnya.

"Marilah kita membina sebuah ekosistem yang meletakkan kanak-kanak bukan sekadar sebagai penerima hak, tetapi sebagai amanah Allah SWT dan aset strategik negara. Mereka bukan hanya pewaris masa depan Malaysia, bahkan bakal mencorakkan masa depan tamadun," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!