52 anak yatim DUN Tawang disantuni melalui SPY
Oleh: Irham Hilmi Hashim
BACHOK, 7 Julai – Sejumlah 52 anak yatim daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di DUN Tawang menerima sumbangan menerusi Skim Pendidikan Yatim (SPY) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan membantu golongan yang memerlukan dalam meneruskan pendidikan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail berkata, Skim Pendidikan Yatim merupakan antara inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri yang diwujudkan bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terus diberi perhatian, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyantuni setiap lapisan masyarakat bermula daripada bayi, kanak-kanak, pasangan yang baru berkahwin, suri rumah, usahawan, golongan dhuafa dan warga emas menerusi pelbagai skim kebajikan yang diperkenalkan.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini berhubung Majlis Penyampaian Skim Pendidikan Yatim yang berlangsung di Dewan Terbuka Kompleks Masjid Daruttarbiyah, Kampung Wakaf Zin, Tawang, semalam.
Tambahnya, antara skim yang dilaksanakan termasuk Skim Gerbang Az-Ziwaaj, Kifaalah, Cakna Aulad, Cakna Suri serta pelbagai lagi inisiatif yang dirangka bagi memenuhi keperluan rakyat mengikut kelompok sasaran masing-masing.
“Semua skim tersebut merupakan bantuan secara 'one-off' (sekali beri) dan bukannya bantuan bulanan, namun ia mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meringankan beban rakyat serta memastikan kebajikan mereka terus terbela,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para penerima agar sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT kerana terpilih menerima bantuan yang disediakan.
Menurutnya, rasa syukur bukan sekadar diungkapkan dengan lisan, sebaliknya perlu dizahirkan melalui ketaatan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Sehubungan itu, beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu keperluan pendidikan anak-anak yatim, sekali gus menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus menimba ilmu dan mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan terus komited memperkasakan agenda kebajikan yang menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada golongan yang tercicir daripada perhatian.










