RM675,000 untuk TRS 3.0, dijangka manfaatkan lebih 2,700 calon SPM Kelantan - Exco Pendidikan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 7 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM675,000 bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 3.0 tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan sebanyak RM15,000 bagi setiap 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa agenda pendidikan rakyat, khususnya membantu calon SPM meningkatkan pencapaian akademik.
Menurutnya, program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu bakal melibatkan lebih 60 pelajar bagi setiap DUN dengan bimbingan akademik yang lebih tersusun menerusi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15,000 bagi setiap DUN untuk pelaksanaan program ini. Dengan penglibatan 45 DUN di seluruh Kelantan, lebih 60 orang pelajar bagi setiap DUN akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Tuisyen Rakyat Sejahtera 3.0,” katanya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran dan Taklimat Pelaksanaan Tuisyen Rakyat Sejahtera 3.0 Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini, hari ini.
Katanya lagi, pemilihan empat mata pelajaran berkenaan dibuat kerana ia merupakan subjek teras yang memberi pengaruh besar terhadap pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan SPM.
Tambahnya, program itu diharap dapat memperkukuh penguasaan asas, meningkatkan kefahaman serta membina keyakinan pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
“Program seperti ini amat penting sebagai satu bentuk sokongan tambahan kepada sistem pendidikan sedia ada supaya pelajar lebih bersedia dan tidak tercicir daripada peluang untuk mencapai kejayaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan pelaksanaan TRS 3.0 bergantung kepada kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Yayasan Islam Kelantan (YIK), Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Majlis Guru Cemerlang Negeri Kelantan serta Pusat Khidmat DUN (PKD) di seluruh negeri.
Menurutnya, penyelarasan yang sistematik antara semua agensi pelaksana penting bagi memastikan bantuan pendidikan itu sampai kepada kumpulan sasar serta dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut dan berharap TRS 3.0 terus menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi Kelantan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada agama, negeri dan negara.
Turut hadir, Pengerusi Badan Backbenchers Club (BBC) Negeri Kelantan YB Dato' Abd Rahman Yunus serta Timbalan Pengarah (Akademik) Yayasan Islam Kelantan (YIK) Sukeiri Husin.














