Musibah uji pesakit dan seluruh keluarga – Datuk Dr Ahmad Marzuk
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Dr Ahmad Marzuk
PENGKALAN CHEPA, 7 Julai – Musibah yang menimpa seseorang individu memberi kesan kepada pesakit dan turut mengubah keseluruhan kehidupan dan peranan setiap ahli keluarga yang terlibat.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, setiap kali berpeluang turun ke lapangan, perkara paling jelas yang dilihat ialah kesan sesuatu musibah melibatkan seluruh ekosistem keluarga dan bukan tertumpu kepada seorang sahaja.
Menurutnya, apabila seorang anggota keluarga yang selama ini menjadi tempat bergantung hilang keupayaan untuk bekerja, tanggungjawab baharu akan dipikul oleh pasangan serta ahli keluarga lain yang perlu menyesuaikan kehidupan dengan keadaan semasa.
"Apabila musibah menimpa sebuah keluarga, yang berubah bukan hanya seorang pesakit. Seluruh ekosistem keluarga berubah," katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Beliau berkata demikian setelah turun bersama Skuad Kita Cakna DUN Chempaka menziarahi rakyat yang diuji dengan musibah dalam DUN berkenaan pada Ahad.
Dato' Dr Ahmad Marzuk berkata, golongan yang sering terlepas daripada perhatian ialah anak-anak yang membesar dalam suasana penuh cabaran selepas keluarga berdepan ujian.
Katanya, terdapat anak-anak yang lebih awal mengenal erti kesusahan, memahami pengorbanan ibu bapa dan terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan yang berlaku.
Beliau berkata, situasi berkenaan menunjukkan isu seperti kos sara hidup, sistem kesihatan, kebajikan dan dasar awam yang dibincangkan akhirnya kembali kepada satu institusi utama iaitu keluarga.
"Di sebalik setiap keputusan yang dibuat, ada keluarga yang sedang berusaha untuk terus bertahan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Skuad Ziarah Muslimat DUN Chempaka yang terus melaksanakan kerja kebajikan dengan mengenal pasti keluarga yang memerlukan perhatian, mengikuti perkembangan mereka serta memastikan tiada yang terpinggir daripada keprihatinan masyarakat.
Tambahnya, ukuran sebenar sebuah masyarakat bukan hanya pada kemajuan yang dicapai ketika semua berada dalam keadaan baik, tetapi pada kesanggupan menjaga keluarga yang sedang melalui hari-hari sukar dalam kehidupan.
"Barangkali di situlah ukuran sebenar sebuah masyarakat. Bukan pada kemajuan yang mampu dibina ketika semua berada dalam keadaan baik, tetapi pada kesanggupan menjaga sebuah keluarga yang sedang melalui hari-hari paling sukar," katanya.












