Accessibility Tools

Skip to main content

Program pengantarabangsaan platform stategik jaringan pendidikan Islam Kelantan-Thailand

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 7 Julai — Program Pengantarabangsaan Pelajar Sekolah Swasta Aliran Agama Thailand ke Sekolah Yayasan Islam Kelantan menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan Islam antara Kelantan dan Thailand, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian ilmu, budaya serta pengalaman di peringkat antarabangsa.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperluas kerjasama pendidikan rentas sempadan bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata demikian mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat merasmikan Program Pengantarabangsaan Pelajar Sekolah Swasta Aliran Agama Thailand ke Sekolah Yayasan Islam Kelantan di Dewan Asma' Binti Abu Bakar, Maahad Muhammadi Perempuan, semalam.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok, hubungan erat antara institusi pendidikan Islam di Kelantan dan Thailand memberi manfaat kepada pelajar dan mengukuhkan ukhuwah serta memperluas jaringan kerjasama akademik antara kedua-dua wilayah.

“Program ini menjadi wadah terbaik untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan Islam kedua-dua negara melalui pertukaran pengetahuan, pengalaman serta penghayatan budaya yang mampu memperkayakan proses pembelajaran para pelajar,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan kepada persekitaran pendidikan antarabangsa akan membantu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri yang kukuh, berfikiran terbuka dan mampu bersaing di peringkat global.

Sehubungan itu, beliau berharap jalinan kerjasama antara institusi pendidikan Islam di Kelantan dan Thailand akan terus diperkasakan menerusi pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan.

“Usaha memperluaskan jaringan pendidikan antarabangsa merupakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan ummah serta memartabatkan pendidikan Islam di persada dunia,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!