30 peserta KYD Bootcamp dilatih kuasai platform jualan digital
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Zamakhshari
KOTA BHARU, 7 Julai – Sebanyak 30 peserta Kelantan Youth Digitalpreneur (KYD) Bootcamp 2026 berjaya mengikuti latihan intensif yang memberi penekanan kepada penguasaan platform jualan digital seperti TikTok, Instagram dan WhatsApp bagi meningkatkan daya saing mereka sebagai usahawan muda.
Mereka mengikuti kursus tersebut selama tiga hari dua malam di sebuah hotel di sini bermula 4 hingga 6 Julai yang dirasmikan majlis penutup oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad pada Isnin.
Sehubungan itu YB Zamakhshari berkata, ekonomi digital membuka peluang luas kepada anak muda menjana pendapatan tanpa terikat dengan lokasi.
"Kebolehan membaca trend semasa dan beradaptasi dengan perubahan, peluang buat mereka yang celik digital dan berani mengorak langkah adalah lebih baik berbanding mereka yang masih kekal pada takuk yang lama," katanya.
Menurutnya, kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan sepanjang program membuktikan belia Kelantan mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pemasaran digital.
Tambahnya, sepanjang program, peserta didedahkan dengan latihan praktikal merangkumi pembentukan minda digitalpreneur, analisis produk berpermintaan tinggi, pembinaan identiti visual jenama, penguasaan sistem jualan digital serta sesi 'business pitching' produk masing-masing.
"Dalam era perubahan yang serba pantas, kita tidak boleh lari daripada teknologi. Penguasaan ilmu pengetahuan mestilah sentiasa dikemas kini agar kita tidak terus ketinggalan.
"Program seperti ini merupakan satu usaha yang sangat baik dalam mempersiapkan modal insan dan usahawan yang berdaya saing," ujarnya menerusi laman rasmi, semalam.
YB Zamakhshari turut berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang bootcamp itu menjadi pemangkin kepada peserta untuk membina perniagaan sendiri yang berdaya saing serta mampu menembusi pasaran digital pada masa hadapan.












