97 pelajar DUN Temangan terima bantuan kecemerlangan dan sumbangan IPTA/IPTS
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media TMB
MACHANG, 7 Julai – Sebanyak 97 pelajar menerima Bantuan Pelajar Cemerlang serta Sumbangan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Temangan, di sini, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif tersebut merupakan penghargaan kepada pelajar yang berjaya mencatat kecemerlangan akademik, selain membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menghadapi kos melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan individu, keluarga dan pembangunan negeri, justeru usaha membantu pelajar perlu terus diperkasakan.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan diharap menjadi pembakar semangat kepada para penerima untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, di samping membentuk sahsiah yang mulia serta menjadi insan yang berbakti kepada agama, masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pelajar supaya sentiasa mengenang pengorbanan ibu bapa yang bertungkus-lumus memastikan anak-anak memperoleh pendidikan yang terbaik.
“Sentiasa ingat penat lelah ibu ayah di kampung yang mahukan anaknya berjaya dan membawa pulang segulung kejayaan,” ujarnya
Sehubungan itu, beliau berharap semua penerima memanfaatkan bantuan yang diberikan sebaiknya sebagai dorongan untuk terus menuntut ilmu sehingga berjaya mencapai cita-cita masing-masing.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima serta mendoakan agar mereka dikurniakan kejayaan, keberkatan ilmu, dipermudahkan segala urusan sepanjang pengajian dan akhirnya kembali menyumbang bakti kepada agama, masyarakat serta pembangunan negeri Kelantan.












