Accessibility Tools

Skip to main content

Pengurusan sistematik, kegigihan kunci kejayaan Koperasi Zulmas

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto:FB YB Dato' Tuan Saripudin

KOTA DARULNAIM, 7 Julai – Pengurusan sistematik, pengalaman serta kegigihan lebih 30 tahun menjadi faktor utama kejayaan Koperasi Zulmas sebagai antara perusahaan penternakan ayam yang berjaya di Machang.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kejayaan perusahaan keluarga itu membuktikan usaha berterusan, pengalaman serta istiqamah mampu melahirkan perusahaan yang berkembang maju.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas mengadakan lawatan ke Koperasi Zulmas di Kampung Kemahang, Machang bagi meninjau operasi penternakan ayam, pada Isnin.

Menurutnya, hasil lawatan mendapati anak ayam berusia 14 hari membesar dengan baik dan dijangka boleh dipasarkan dalam tempoh kira-kira 20 hari lagi. Manakala ayam berusia antara 34 hingga 35 hari pula telah mencapai berat sekitar dua kilogram seekor.

“Pengurusan yang sistematik serta penjagaan rapi jelas menjadi faktor kejayaan perusahaan ini,” katanya.

Tambahnya, Koperasi Zulmas kini mampu menternak kira-kira 130,000 ekor ayam pada satu-satu masa hasil usaha gigih pengusaha bersama ahli keluarga.

"Kejayaan koperasi itu memperkukuh industri penternakan tempatan dan turut menyumbang kepada bekalan ayam daging negara serta agenda keterjaminan makanan," katanya.

Dato' Tuan Mohd Saripudin turut melawat projek ternakan lembu fidlot di PKPNK Cattle Farm di Kampung Wek Machang yang diusahakan oleh Aiko Holding dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan.

Menurutnya, projek yang telah beroperasi kira-kira dua tahun itu memainkan peranan penting dalam membekalkan lembu bagi memenuhi permintaan ibadah korban serta keperluan sumber protein harian.

“Secara keseluruhannya terdapat empat kandang yang menempatkan ternakan di projek ini,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara, selain menekankan kepentingan usaha meningkatkan bekalan daging tempatan agar tidak terlalu bergantung kepada import.

Pautan berjaya disalin!