Jeli Megatrail beri pengalaman mengujakan kepada peserta, kukuhkan ukhuwah – Exco Sukan
Oleh:Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 Julai - Penganjuran Jeli Megatrail 1.0 2026 memberikan pengalaman yang mengujakan kepada peminat sukan ekstrem apabila peserta berdepan laluan 'off-road' yang sukar, curam dan berbatu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, hujan yang turun pada malam sebelum acara turut menjadikan laluan lebih mencabar apabila permukaan trek menjadi licin serta dipenuhi lumpur.
Menurutnya, penganjuran itu membuktikan sukan berkenaan bukan sekadar hobi, sebaliknya memerlukan ilmu serta pengalaman yang tinggi dalam pengendalian kenderaan.
"Program ekstrem sebegini bukan sekadar aktiviti sukan bermotor biasa, malah menjadi medan terbaik untuk menguji kemahiran pemanduan dan kecekapan mengendalikan jentera masing-masing di sepanjang laluan trek yang ekstrem.
"Pada masa sama, cabaran muka bumi di sini benar-benar menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta keberanian yang luar biasa untuk menakluk setiap rintangan," katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Beliau memaklumkan, setiap pemandu perlu mempunyai keserasian dengan jentera, sentiasa fokus serta bijak membuat jangkaan ketika melalui laluan mencabar.
"Peserta juga perlu menilai keadaan trek dengan teliti sebelum menggerakkan kenderaan bagi mengelakkan sebarang risiko," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan acara berimpak tinggi itu, selain menghargai semua peserta yang berjaya menamatkan cabaran.
Ujar beliau lagi, pengalaman yang diperoleh sepanjang meredah trek bukan sahaja memberi kepuasan kepada peserta, malah mewujudkan nilai kebersamaan dan keakraban yang sukar dinilai.
"Apa yang paling mahal, program ini berjaya mengeratkan ukhuwah dan menyuburkan semangat kesetiakawanan yang tinggi dalam kalangan peserta apabila masing-masing saling membantu dan bekerjasama tanpa mengira pasukan sekiranya ada jentera yang menghadapi masalah," ujarnya.
Menurutnya, peserta membawa pulang pengalaman dan kenangan manis sepanjang berada di bumi Jeli.
Selain itu katanya, penganjuran Jeli Megatrail secara tidak langsung menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan keindahan alam semula jadi Kelantan yang kaya dengan khazanah hutan tropika serta landskap bukit-bukau yang memukau.
Untuk rekod, Ekspedisi Jeli Nature Mega Trail 1.0 Tahun 2026 yang bermula di Gunung Reng, Jeli, menghimpunkan 300 peserta motosikal motocross dan 100 kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang mengharungi laluan mencabar menuju ke Campsite Air Naga.
Ekspedisi tersebut membawa para peserta merentasi beberapa lokasi menarik seperti Terowong Emas Kampung Kalai, Sungai Suan dan Gua Stir, sekali gus memberi peluang untuk menikmati sendiri keindahan alam semula jadi serta khazanah warisan geologi yang menjadi kebanggaan daerah Jeli.












