Permohonan Skim Cakna Aulad 2026 dibuka
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 6 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) membuka permohonan Skim Cakna Aulad 2026 bermula 1 Julai hingga 20 Julai 2026 sebagai usaha berterusan menjaga kebajikan bayi kelahiran negeri ini.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, Skim Cakna Aulad yang diperkenalkan sejak 2019 merupakan inisiatif kebajikan kerajaan negeri bagi meraikan kelahiran anak-anak Kelantan yang bakal menjadi pelapis kepimpinan agama, masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, skim berkenaan turut bertujuan membudayakan amalan menabung dalam kalangan ibu bapa sejak awal kelahiran anak sebagai persediaan masa depan yang lebih terancang.
“Sehingga tahun 2019 hingga 2025, seramai 8,955 ibu dan bayi telah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM777,650.00,” katanya menerusi media rasmi, hari ini.
Bagi pelaksanaan tahun 2026, sebanyak 1,350 bayi kelahiran di Kelantan disasarkan menerima manfaat skim tersebut, melibatkan 30 penerima bagi setiap Dewan Negeri (DUN) di seluruh negeri.
Manfaat yang ditawarkan adalah berupa tajaan pembukaan Akaun Tabungan Emas bernilai RM100 bagi setiap bayi yang layak.
Beliau berkata, skim itu simbol penghargaan kerajaan negeri kepada keluarga yang menerima cahaya mata baharu dan menjadi pemangkin kepada perancangan kewangan keluarga yang lebih sistematik.
Syarat kelayakan menetapkan bayi mestilah dilahirkan di Negeri Kelantan serta mengemukakan dokumen seperti salinan kad pengenalan ibu bapa, MyKid atau sijil kelahiran bayi, dan dokumen berkaitan lain.
Permohonan boleh diperoleh di Pejabat ADUN masing-masing dan perlu dikemukakan kepada U-KeKWa sebelum 20 Julai 2026. Permohonan yang tidak lengkap atau mengandungi maklumat meragukan tidak akan diproses.
Pelaksanaan skim ini turut melibatkan kerjasama NGO Beliawanis DUN serta Kelantan Gold Trade.
“Orang ramai yang mempunyai bayi kelahiran di Negeri Kelantan diseru untuk mengambil peluang permohonan ini bagi memastikan generasi baharu terus mendapat perhatian dan sokongan sejak awal kehidupan,” ujarnya.








