12 mukim terajui pelaksanaan Program Mukim Komuniti Rabbani
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 6 Julai – Sebanyak 12 mukim dari seluruh Kelantan dipilih menerajui pelaksanaan Program Mukim Komuniti Rabbani (Mukim K-Rabb) bagi memperkukuh pembinaan komuniti berteraskan nilai ilmu, akhlak dan perpaduan sejajar agenda pembangunan insan negeri.
Program yang dilancarkan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan pada Majlis Pelancaran Mukim Komuniti Rabbani (Mukim K-Rabb) itu berlangsung di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini, hari ini.
12 mukim yang dipilih ialah Mukim Selehong (DUN Kelaboran), Tebing Tinggi (DUN Chempaka), Zon Kampung Dusun (DUN Kota Lama), Kubang Bemban (DUN Pengkalan Pasir), Gual Periok (DUN Gual Periok), Beta Hulu (DUN Salor), Padang Kala (DUN Melor), Belimbing (DUN Bukit Panau), Tok Kamis (DUN Gaal), Wakaf Bata (DUN Temangan), Sungai Long (DUN Kuala Balah) dan Sungai Terah (DUN Galas).
Dato' Dr Mohamed Fadzli berkata, konsep Rabbani menjadi asas pembentukan insan Islam yang berilmu, berakidah benar, berakhlak mulia serta mampu memimpin masyarakat mengikut panduan al-Quran dan sunnah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
"Islam datang untuk mendidik manusia menjadi insan yang berperanan. Seorang Islam mesti mempunyai akidah yang betul, syahsiah yang baik, mampu bermuamalah dengan manusia lain serta menzahirkan akhlak seorang Muslim sebenar.
"Kerajaan negeri memperkenalkan sembilan teras penghayatan Rabbani sebagai strategi membentuk masyarakat. Hasil penelitian para ulama terhadap pelbagai kitab tafsir, seorang Rabbani ialah individu yang memiliki ilmu agama yang mantap, mempunyai hubungan kukuh dengan Allah SWT, menyebarkan ilmu kepada masyarakat serta mampu memimpin dan menyelesaikan masalah umat," katanya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau berkata, nilai Rabbani perlu diterjemahkan sehingga ke akar umbi supaya usaha membangunkan masyarakat bukan hanya berlaku di peringkat dasar, sebaliknya dapat dirasai oleh komuniti di setiap mukim.
Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Dr. Azizi Umar
Sementara itu, Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) Dr. Azizi Umar berkata, pelaksanaan Mukim K-Rabb merupakan kesinambungan kepada pelbagai inisiatif pembangunan insan yang dimulakan kerajaan negeri sejak pelancaran Budaya Komuniti Rabbani pada tahun 2022 serta Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan.
Menurutnya, ILDAN terlebih dahulu memberi latihan kepada kepimpinan penghulu sebelum berjaya melatih lebih 60 mentor atau penasihat K-Rabb yang sebahagian besarnya terdiri daripada guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK).
"Kita mahu roh Rabbani terus dirasai sehingga ke peringkat mukim. Jurulatih yang dilatih turut melaksanakan ceramah K-Rabb menerusi Program Bina Ummah, selain mendekati generasi muda melalui pertandingan video kreatif bagi membina komuniti digital yang memahami nilai Rabbani," jelasnya.
Beliau berkata, Program Mukim Komuniti Rabbani menjadikan masjid mukim sebagai pusat penyatuan komuniti dengan matlamat membentuk masyarakat yang sejahtera, berilmu, berakhlak dan bersatu padu berteraskan nilai-nilai Rabbani.
Katanya, pelaksanaan program itu mengambil pengalaman daripada projek rintis yang telah dilaksanakan di Kampung Takang, DUN Tawang di Bachok serta Mukim Manjor, DUN Manek Urai di Kuala Krai, sebelum diperluaskan ke 12 mukim terpilih di seluruh negeri.














