Generasi muda diseru manfaatkan teknologi tonjol budaya Kelantan ke persada dunia
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
PASIR PUTEH, 6 Julai — Generasi muda diseru memanfaatkan teknologi digital dan media sosial secara kreatif serta berhemah bagi menonjolkan warisan budaya Kelantan kepada masyarakat dunia, sekali gus memastikan khazanah negeri terus lestari dan relevan merentas zaman.
Sehubungan itu, Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyeru anak muda Kelantan yang menguasai teknologi moden memanfaatkannya sebagai medium mempromosikan kesenian, kebudayaan dan identiti negeri ke peringkat antarabangsa.
“Gunakanlah kelebihan ini untuk memperkenalkan budaya Kelantan kepada dunia dengan cara yang kreatif, berhemah dan bermaruah.
“Rakamkan keindahan seni tradisional, ceritakan sejarah permainan rakyat, promosikan makanan tradisional dan perkenalkan kraftangan tempatan.
“Jadikan media digital sebagai jambatan yang menghubungkan warisan Kelantan dengan masyarakat dunia supaya khazanah kita bukan sahaja dilihat, tetapi turut dihargai,” katanya.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pelancongan Budaya: Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, masyarakat khususnya golongan muda perlu mempelajari, menghayati dan mewarisi kebudayaan serta kesenian negeri bagi memastikan warisan tersebut terus dipelihara.
Katanya, warisan budaya hanya akan terus hidup sekiranya ada generasi yang sanggup mempelajari, mengamalkan dan mewariskannya kepada generasi akan datang.
“Justeru, saya ingin mengajak seluruh masyarakat, khususnya anak-anak muda, agar melihat warisan budaya bukan sebagai sesuatu yang lapuk atau ketinggalan zaman.
“Sebaliknya, warisan inilah yang membezakan kita daripada bangsa-bangsa lain. Dalam dunia yang semakin global, identiti tempatan menjadi semakin bernilai dan perlu terus dibanggakan,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, usaha memartabatkan warisan budaya melalui platform digital dapat memelihara identiti negeri dan berpotensi menjana peluang ekonomi baharu menerusi sektor pelancongan, industri kreatif dan perusahaan budaya.
Katanya, penglibatan aktif generasi muda dalam mempromosikan warisan negeri akan memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik di peringkat nasional dan antarabangsa.












