140 penerima di DUN Dabong terima bantuan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 6 Julai – Sebanyak 140 penerima di DUN Dabong menerima pelbagai bentuk bantuan Kerajaan Negeri Kelantan merangkumi Maaruf OKU, Bantuan Pesakit Kronik, Skim Bina Usahawan dan Skim Khairat Kifaalah dalam Program Himpunan OKU DUN Dabong yang berlangsung di Medan Ilmu Surau Hijau Gua Ikan, pada 3 Julai.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata, penganjuran program tersebut merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat yang memerlukan, termasuk golongan OKU, pesakit kronik, usahawan kecil serta keluarga yang berdepan kehilangan ahli keluarga.
“Bagi kategori Maaruf OKU, sebanyak 45 penerima telah menerima sumbangan, manakala 58 penerima lagi bagi Bantuan Pesakit Kronik yang bertujuan membantu meringankan beban kos rawatan dan keperluan harian mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam media rasminya, pada Sabtu.
Tambahnya, program tersebut turut menyaksikan 27 waris menerima Skim Khairat Kifaalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Selain itu, sejumlah 15 peniaga tempatan turut menerima Skim Bina Usahawan sebagai usaha memperkasa ekonomi rakyat dan menggalakkan pertumbuhan usahawan kecil di peringkat akar umbi.








