Tradisi Bubur Asyura terus dipelihara menerusi penglibatan komuniti OKU
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Rohani
BACHOK, 6 Julai – Tradisi memasak Bubur Asyura terus dipelihara menerusi penglibatan aktif komuniti orang kurang upaya (OKU) bersama masyarakat setempat dalam Program Kacau Bubur Asyura anjuran Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Negeri Kelantan (MPPOK) 2026.
Program tersebut berlangsung di Surau An-Nur, Pusat Pemulihan OKU Kampung Aur, Telong, di sini, pada Ahad.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, penganjuran program itu menghidupkan warisan masyarakat Melayu dan menjadi platform memperkukuhkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan ukhuwah antara komuniti OKU, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.
Beliau memaklumkan, program berkenaan menyaksikan penyediaan dua kawah Bubur Asyura hasil semangat gotong-royong apabila satu kawah disediakan oleh penduduk Kampung Aur, manakala satu lagi merupakan kerjasama antara MPPOK dan Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI).
"Program ini cukup bermakna kerana menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat untuk berganding bahu menjayakan tradisi yang menjadi warisan turun-temurun.
"Inilah indahnya apabila masyarakat saling membantu tanpa mengira latar belakang, sekali gus menyemarakkan nilai perpaduan dan kasih sayang dalam komuniti," katanya di laman rasmi, semalam.
Menurutnya lagi, pemilihan Pusat Pemulihan OKU Kampung Aur sebagai lokasi penganjuran turut memberi makna tersendiri kerana mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan masyarakat dalam meraikan serta mendekati komuniti OKU.
Tambahnya, program seumpama itu turut membuka ruang kepada agensi kerajaan, NGO dan masyarakat untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPPOK, Persatuan INSANI, jawatankuasa Surau An-Nur, penduduk Kampung Aur dan semua sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.










