Lebih 1,000 sertai Kuala Krai Night Walk 2026
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 6 Julai — Lebih 1,000 peserta menyertai Kuala Krai Night Walk 2026, sekali gus menyemarakkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat sempena Majlis Penutup Program Cakna Alam Sekitar dan Kesihatan Masyarakat Kuala Krai di Taman Chintawangsa, di sini, semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri memperkasa agenda Kelantan Sihat, Kelantan Hijau dan Kelantanku Bersih melalui pembudayaan amalan hidup sihat.
Menurutnya, program berjalan santai tersebut merupakan aktiviti riadah bersama keluarga yang menjadi medium mendidik masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup aktif secara konsisten.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah
“Sebenarnya kita tidak semestinya perlu menjadi atlet untuk hidup sihat, namun kita akan kekal sihat jika kita istiqamah berjalan kaki setiap hari,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi, hari ini.
Beliau berkata, kajian perubatan menunjukkan amalan berjalan kaki pantas selama 30 hingga 45 minit sehari mampu mengurangkan risiko penyakit jantung antara 20 hingga 30 peratus, selain membantu mengawal tekanan darah serta diabetes melalui peningkatan sensitiviti insulin.
“Amalan 'brisk walk' juga dapat membantu membakar antara 150 hingga 300 kalori sejam, di samping memberi manfaat kepada kesihatan mental dengan mengurangkan tekanan dan keresahan, selain menguatkan tulang serta mengurangkan risiko strok, demensia dan nyanyuk,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau merujuk dapatan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 yang menunjukkan 29.9 peratus rakyat Malaysia masih tidak aktif secara fizikal, bersamaan hampir tiga daripada setiap sepuluh orang dewasa tidak mencapai tahap aktiviti fizikal yang disarankan.
Menurutnya, keadaan itu boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi dan obesiti sekiranya tidak ditangani secara berkesan.
Beliau memaklumkan, agenda Kelantan Sihat turut dilaksanakan seiring usaha memperluas inisiatif Kelantan Hijau dan Kelantanku Bersih melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta pelbagai agensi berkaitan.
“Kerajaan negeri akan terus memperluaskan pelaksanaan program kesihatan, kempen kebersihan dan penghijauan, di samping menambah kemudahan taman rekreasi serta laluan pejalan kaki khususnya di kawasan bandar bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Kuala Krai selaku penganjur, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta seluruh warga Kuala Krai yang menjayakan Program My Local Agenda 21.
Beliau berharap Kuala Krai Night Walk menjadi pencetus kepada pembudayaan berjalan kaki sebagai amalan harian, sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih sihat, cergas dan sejahtera.










