Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pelancongan santuni pelancong China cedera kemalangan

Oleh: Irham Hilmi Hashim


MACHANG, 6 Julai — Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan pelancong asing terus dizahirkan apabila Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor menyantuni lima pelancong dari China yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Hospital Machang, semalam.

Sehubungan itu, Datuk Kamarudin berkata, kunjungan tersebut bertujuan meninjau sendiri keadaan mangsa yang sedang menerima rawatan, di samping memberikan sokongan moral kepada mereka dan keluarga.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai pada 2 Julai lalu melibatkan lima warga China selepas kenderaan yang dinaiki dipercayai tersalah memasuki laluan projek pembinaan yang masih belum dibuka kepada orang awam sebaik selesai menghadiri satu majlis perayaan di Temangan.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan dengan dua orang sedang menerima rawatan di Hospital Machang, manakala tiga lagi dirawat di Hospital Kuala Krai,” katanya melalui media sosial, pada Ahad. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan dua daripada mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi telah dibenarkan pulang selepas keadaan mereka disahkan stabil.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Hospital Machang Dr. Izhar Shah Mohd Aseri, Pegawai Perubatan, Dr. Ahmad Aizudin Daud serta seluruh petugas kesihatan atas kecekapan dan layanan profesional yang diberikan sepanjang proses rawatan.

“Saya berharap semua mangsa diberikan kesembuhan segera, dipermudahkan urusan rawatan serta dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau memuji tindakan segera dan layanan profesional yang diberikan kepada mangsa mencerminkan komitmen kerajaan negeri serta petugas kesihatan dalam menjaga kebajikan pelancong.

Menurutnya lagi, keprihatinan terhadap pelancong asing merupakan antara elemen penting dalam memperkukuh imej Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang mesra, selamat dan prihatin, sekali gus meningkatkan keyakinan pelawat antarabangsa terhadap negeri ini.

Pautan berjaya disalin!