Accessibility Tools

Skip to main content

218 armalah Cina, India DUN Kota Lama terima sumbangan kerajaan negeri

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 6 Julai – Sebanyak 218 armalah daripada masyarakat Cina dan India di Dewan Negeri (DUN) Kota Lama menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DHPP, Jalan Kebun Sultan, di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama Dato' Sr Zamri Ismail bersama Penyelia DUN Kota Lama Ir Nor Shakiman Muhammad.

Pada majlis itu juga turut disampaikan cek kifalah kepada enam wasi warga emas yang meninggal dunia.

Dato' Sr Zamri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada skim kebajikan Kerajaan Kelantan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban penerima dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.

"Walaupun keadaan ekonomi hari ini begitu dirasai dengan harga barang yang tidak sama seperti dahulu dan semuanya meningkat, ia memerlukan kebijaksanaan para armalah dalam mengurus perbelanjaan keluarga.

"Kita juga perlu mendidik anak-anak supaya tidak boros berbelanja dan mengelakkan pembelian barangan yang tidak berfaedah," katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri sentiasa berlaku adil kepada rakyat dalam menyalurkan bantuan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Kenyataan itu disokong Ir Nor Shakiman yang menegaskan, pihak DUN Kota Lama sentiasa memberi perhatian kepada semua rakyat berdasarkan kelayakan dan keperluan mengikut kewajaran.

"Kita akan beri apa yang sepatutnya kita beri kepada rakyat berdasarkan kelayakan dan keperluan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai skim kebajikan kepada rakyat bermula dari kelahiran sehingga meninggal dunia, seperti Skim Cakna Aulad, Skim Gerbang Azziwaj, sumbangan pendidikan, bantuan penyakit kronik, kifalah dan banyak lagi.

Menurutnya lagi, bagi bantuan penyakit kronik, pihaknya akan turun ke rumah pesakit untuk menyantuni mereka tanpa mengira kaum di samping mengenal pasti keperluan lain seperti keadaan tempat tinggal yang memerlukan bantuan.

"Kita akan bantu walaupun tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang mereka hadapi," jelasnya.

Beliau berharap rakyat, khususnya penduduk DUN Kota Lama, terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam membina masyarakat yang harmoni serta saling mengenali antara satu sama lain.

Pautan berjaya disalin!