Accessibility Tools

Skip to main content

25,612 komuniti bersama PDRM pertingkat keselamatan Kuala Krai

Oleh: Syamimi Manah

KUALA KRAI, 5 Julai – Penyertaan sebanyak 25,612 komuniti dalam Volunteer Smartphone Patrol (VSP) menjadi indikator jelas kerjasama erat antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mempertingkat tahap keselamatan di daerah Kuala Krai.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pencapaian tersebut membuktikan kepercayaan tinggi rakyat terhadap PDRM serta komitmen bersama dalam memastikan persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga IPD Kuala Krai Tahun 2026 yang turut menampilkan pencapaian besar IPD Kuala Krai dalam memperkukuh agenda keselamatan komuniti melalui program VSP, pada 3 Julai.

Menurutnya, jumlah 25,612 pendaftaran VSP setakat 2 Julai 2026 mencerminkan penglibatan aktif masyarakat dalam membantu pihak berkuasa mencegah jenayah serta mempercepatkan penyampaian maklumat di lapangan.

“Keselamatan bukan lagi tanggungjawab polis semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama. Melalui VSP, setiap telefon pintar menjadi alat penting untuk menyalurkan maklumat dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya di laman rasmi, pada Jumaat. 

Tambahnya, pendekatan VSP turut mengukuhkan konsep ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ yang menjadi asas kepada pembentukan komuniti selamat dan responsif terhadap isu jenayah.

Dalam masa sama, YB Hilmi Abdullah turut mengaitkan usaha tersebut dengan aspirasi menjadikan Kuala Krai sebagai Bandar Selamat 2026/2027, selari dengan pengiktirafan daerah itu sebagai Bandar Paling Bahagia Malaysia 2025, manakala Dabong pula dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia 2026.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan PDRM dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Bandar Selamat termasuk penambahbaikan infrastruktur keselamatan, pemasangan CCTV, pencahayaan awam, pengurusan landskap serta program kesedaran komuniti.

Beliau turut menyeru penduduk yang belum menyertai VSP agar segera mendaftar bagi memperluas jaringan keselamatan komuniti di seluruh Kuala Krai.

“Apabila masyarakat, agensi kerajaan dan PDRM bergerak seiring, kita bukan sahaja mampu mengurangkan risiko jenayah, malah membina sebuah daerah yang lebih aman, harmoni dan sejahtera,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!