Accessibility Tools

Skip to main content

FKRK 2026 himpunkan warisan budaya dan penggiat seni

Oleh: Asri Hamat

PASIR PUTEH, 5 Julai - Festival Kesenian Rakyat Kelantan 2026 (FKRK) merupakan platform menghimpunkan warisan budaya dan penggiat seni di negeri ini, kata Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud. 

Beliau memaklumkan, festival itu juga ialah wadah perkongsian ilmu, menggerakkan ekonomi rakyat serta memperkenalkan keunikan sebenar Kelantan kepada pelawat dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya, Kelantan sememangnya dikenali sebagai Serambi Mekah, namun pada masa sama turut terkenal sebagai negeri yang kaya dengan warisan budaya Melayu.

"Kedua-dua identiti ini tidak pernah bercanggah. Malah, sejarah telah membuktikan bahawa perkembangan Islam di Kelantan turut menyuburkan tradisi ilmu, seni, bahasa dan budaya yang berteraskan nilai-nilai Islam."

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutupan Program Pelancongan Budaya: Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 yang diadakan di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini, semalam.

YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud.

Kata beliau lagi, warisan budaya Kelantan seperti seni persembahan, permainan tradisional, pertukangan, kraftangan dan makanan tradisional merupakan khazanah bernilai yang mencerminkan kebijaksanaan serta falsafah hidup masyarakat Melayu dan wajar dipelihara untuk generasi akan datang.

Tambahnya, antara yang menjadi daya tarikan dalam FKRK 2026 ialah usaha menghidupkan semula permainan rakyat seperti gasing uri, congkak, dam aji, ting-ting serta pelbagai permainan tradisional lain yang suatu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

Dato' Mohd Nassuruddin menegaskan, dalam era digital hari ini, usaha menghidupkan kembali permainan tradisional merupakan ikhtiar yang amat baik, khususnya bagi mengimbangi gaya hidup generasi muda yang semakin dipengaruhi teknologi.

"Hakikatnya, ramai anak muda hari ini sudah tidak lagi mengenali, apatah lagi pandai bermain permainan tradisional yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita," tegasnya.

Tambahnya, warisan budaya tidak seharusnya dianggap sekadar tinggalan sejarah untuk dipamerkan di muzium atau dikenang sebagai nostalgia sebaliknya perlu dilihat sebagai khazanah bernilai tinggi yang mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan identiti negeri.

Atas dasar itu katanya, kerajaan negeri sentiasa melihat sektor pelancongan budaya sebagai antara komponen penting dalam pembangunan negeri.

"Kita tidak mahu pelancongan hanya berlegar pada destinasi, keindahan alam dan tempat bersejarah semata-mata. Tetapi pelancongan juga perlu menawarkan pengalaman, nilai dan jati diri sesuatu tempat agar para pengunjung membawa pulang sesuatu yang berharga mengenai keunikan Kelantan ke negeri dan negara mereka," katanya.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato'  Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah JKKN Malaysia, Mohd Radzi Omar dan Pengarah JKKN Negeri Kelantan Rohaniza Abdullah.

Pautan berjaya disalin!