Kain sarung lambang identiti wanita Melayu – YB Nor Asilah
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Nisa' Kelantan
TUMPAT, 5 Julai – Kain sarung, pakaian tradisional yang melambang identiti, kesederhanaan dan warisan budaya wanita Melayu perlu terus dipelihara sebagai warisan negara.
Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin berkata, pemilihan kain sarung sebagai tema program mencipta kelainan yang unik justeru mampu memugarkan warisan masyarakat Melayu yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya.
"Budaya kain sarung merupakan sebahagian daripada warisan masyarakat Melayu yang melambangkan kesederhanaan, kesopanan dan identiti budaya. Kain sarung bukan sekadar pakaian tradisional bahkan mempunyai nilai sejarah dan fungsi dalam kehidupan seharian" katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Nisa' Sarung Walk 2026 yang berlangsung di Masjid Kampung Kubang Sawa dengan penyertaan kira-kira 300 peserta yang berjalan sejauh 3.5 kilometer menyusuri kawasan sawah padi bermula seawal pukul 6.30 pagi, semalam.
Menurutnya, program berkenaan turut membuktikan warisan budaya mampu dipelihara melalui pendekatan yang santai dan dekat dengan masyarakat, di samping menggalakkan amalan hidup sihat.
"Saya berharap program seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai masyarakat untuk menjadikan aktiviti riadah sebagai rutin harian demi kesejahteraan hidup." ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Nisa' Kelantan selaku penganjur utama serta semua pihak termasuk Masjid Kampung Kubang Sawa, penghulu kampung, agensi terlibat, jawatankuasa pelaksana, sukarelawan dan peserta yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
YB Nor Asilah turut mengingatkan khususnya golongan wanita agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti berjalan kaki atau beriadah.
"Pilihlah laluan yang selamat, terang dan mempunyai kehadiran orang ramai supaya aktiviti riadah dapat dilakukan dengan lebih selesa dan selamat." katanya.
Program Nisa' Sarung Walk menyaksikan peserta hadir dengan pelbagai gaya pemakaian kain sarung yang kreatif, sekali gus menyerlahkan keunikan warisan Melayu dalam suasana riadah bersama komuniti.












