Accessibility Tools

Skip to main content

Islam tidak larang seni budaya tetapi mesti berpandukan syariat - MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Foto: UKMB

PASIR PUTEH, 5 Julai – Islam tidak melarang seni dan budaya kerana kedua-duanya merupakan sebahagian daripada fitrah manusia yang memenuhi keperluan emosi dan perasaan, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud. 

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan Islam menetapkan panduan yang jelas supaya setiap amalan budaya dipandu oleh wahyu Allah SWT serta berkembang dalam lingkungan nilai, adab dan akhlak yang mulia.

Menurutnya, dalam kaedah fiqh disebut hukum asal bagi adat kebiasaan adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya.

"Kita tidak menolak seni mahupun budaya hanya kerana ia bersifat tradisi tetapi kita berusaha memurnikan dan memeliharanya agar terus subur selari dengan tuntutan syariat Islam."

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutupan Program Pelancongan Budaya: Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 yang diadakan di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini, semalam.

Tambahnya sebelum ini terdapat beberapa persembahan tradisi negeri yang tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan syariat.

Namun, katanya, apabila unsur berkenaan tidak lagi diamalkan dan persembahan terbabit telah dimurnikan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai halangan untuk membenarkannya dipersembahkan semula.

Beliau turut menegaskan, Islam hadir untuk mendidik dan membentuk manusia supaya menjadi insan yang mengabdikan diri kepada Allah SWT serta berakhlak mulia.

Tambahnya, Islam merupakan cara hidup yang sempurna yang memandu manusia ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Pautan berjaya disalin!