Accessibility Tools

Skip to main content

Rakan Lestari Bunut Payung bantu MPKB-BRI jaga kebersihan, alam sekitar

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 5 Julai – Dewan Negeri (DUN) Bunut Payung melalui Jawatankuasa Penduduk (JKP) menubuhkan Rakan Lestari Bunut Payung sebagai inisiatif sukarelawan bagi membantu usaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar di kawasan DUN berkenaan. 

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payung YB Shaari Mat Yaman memaklumkan, Rakan Lestari Bunut Payung dikendalikan oleh Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payung. 

Menurutnya, inisiatif itu diwujudkan bagi membantu melaksanakan kerja pembersihan di lokasi yang memerlukan perhatian segera sekiranya pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) tidak berkesempatan berbuat demikian.

"Insya Allah kita mulakan di bawah JKP Bunut Payung dalam kawasan MPKB dan akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat di dalam DUN Bunut Payung.

"Kita melihat MPKB-BRI juga memerlukan kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan. Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, manakala MPKB-BRI menjalankan tugasnya sebagai pihak berkuasa tempatan."

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Rakyat Prihatin Alam anjuran Jawatankuasa Penduduk Bunut Payung, Parlimen Kota Bharu, di kawasan lapang Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato'  Seri Takiyuddin Hassan.

Kata YB Shaari lagi, peserta Rakan Lestari Bunut Payung terdiri daripada Rakan DUN, Rakan Mukim, sukarelawan, penerima bantuan mesin rumput, peserta Ladang Rakyat serta wakil jabatan dan agensi kerajaan.

Tambahnya, lokasi gotong-royong akan dikenal pasti mengikut keperluan sebelum kerja pembersihan dilaksanakan secara berperingkat di kawasan lain.

"Ini bukan kerja harian dan bukan untuk mengambil alih tugas MPKB-BRI, sebaliknya bertujuan membantu serta bersama-sama menjaga alam sekitar," jelasnya.

Operasi gotong-royong oleh Rakan Lestari Bunut Payung akan dilaksanakan secara berkala atau mengikut jadual pada setiap Jumaat mengikut zon, dengan setiap aktiviti disertai tiga hingga lima penerima sumbangan mesin rumput.

Pautan berjaya disalin!