Accessibility Tools

Skip to main content

PKPNK-Aiko Holding perluas projek fidlot kepada 220 ekar

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 8 Julai — Projek pembangunan pusat penternakan lembu fidlot hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dan Aiko Holding di Kampung Wek akan diperluaskan daripada 170 ekar kepada 220 ekar sebagai langkah memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri serta meningkatkan pengeluaran daging tempatan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, peluasan projek itu merupakan antara inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkasa sektor penternakan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan daging import.

Menurutnya, projek yang telah beroperasi hampir dua tahun itu memainkan peranan penting dalam membekalkan ternakan bagi memenuhi permintaan pasaran termasuk keperluan ibadah korban serta sumber protein harian rakyat.

“Usaha seperti ini amat penting supaya bekalan daging tempatan terus meningkat dan kita tidak terlalu bergantung kepada import,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PKPNK Cattle Farm, Kampung Wek, semalam.

Beliau berkata, pusat penternakan berkenaan kini dilengkapi empat kandang fidlot yang menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh rantaian bekalan daging tempatan di Kelantan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek tersebut, khususnya rakan strategik yang bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor memaklumkan, kawasan tersebut berpotensi menjadi hab pengeluaran makanan berasaskan pertanian dan penternakan yang mampu menyumbang kepada sasaran Kelantan sebagai antara negeri pengeluar makanan utama negara.

“Selain mendengar pembentangan mengenai potensi pusat penternakan lembu ini, kami turut diberi penerangan berhubung peluang kerjasama bagi memperkukuh bekalan ayam pedaging sebagai salah satu sumber makanan utama,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman selama 36 tahun yang dimiliki pengusaha ternakan ayam pedaging berkenaan menjadi nilai tambah dalam memperkukuh pembangunan industri ternakan negeri.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memperkasa sektor pertanian dan penternakan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat serta memastikan agenda keterjaminan makanan negeri dapat direalisasikan secara mampan.

Pautan berjaya disalin!